CATATAN PERIBADI

05 December 2011

Kembalikan Identiti Bangsa melayu melalui Tulisan Jawi

Raja Muda Perlis mahu tulisan jawi dimartabatkan

05/12/2011 2:44pm


KUALA LUMPUR 5 Dis. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu semua pihak memartabatkan tulisan jawi ke tahap lebih tinggi setara dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Pada hari ini, kita menghadapi satu persimpangan dan persoalan realiti iaitu bagaimana kita selaku generasi pewaris hendak menjulang tulisan jawi ke suatu tahap baharu di era globalisasi ini, sebagai identiti dan lambang jati diri kita,” titah baginda semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Tulisan Jawi kali kedua dan Karnival Jawi 2011 di Perpustakaan Negara di sini hari ini.

Menurut baginda, selain program-program lebih menyeluruh perlu dilakukan secara berterusan oleh semua pihak, usaha ke arah itu juga perlu dilakukan melalui medium yang pelbagai termasuk melalui bidang teknologi.

"Medium IT yang digemari masyarakat kini juga harus digunakan oleh penggiat tulisan jawi dengan mengeksploitasi apa sahaja media baru dalam menyampaikan atau akses segera dalam usaha mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajarannya,” titah baginda.

Bimbang dengan perkembangan terkini di mana tulisan itu hanya dicetak di dokumen berkaitan urusan agama dan hanya menjadi tempelan di papan tanda, baginda menyarankan agar akhbar Utusan Malaysia dapat menyediakan sekurang-kurangnya satu muka surat tulisan Jawi setiap hari berbanding sekali pada setiap minggu pada masa ini. – Bernama

Catatan Orang Kampung: Hok ni aku setuju benor. Walaupun aku tak berapa fasih menulis dan membaca jawi, tetapi masih lagi boleh menulis dan membaca dengan lancar. Sebagai orang Melayu yang tidak mahu identiti bangsa melayu itu hilang, maka sesiapa sahaja yang mengutarakan agar tulisan jawi di mertabatkan, aku akan sokong dengan sepenuh jiwa dan raga.

Tulisan jawi ni adalah tulisan bangsa Melayu. Sebagaimana diketahui bahawa bangsa melayu pada asalnya aku percaya tidak ada tulisan sendiri yang digunakan secara rasmi. Apabila pedagang Arab datang ke melaka memperkenalkan tulisan Arab, maka huruf-huruf Arab tersebut telah digunakan oleh orang melayu untuk mencatat peristiwa-peristiwa penting termasuk hukum kanun melaka dan undang-undang laut Melaka juga di catat di dalam tulisan jawi.  Pada masa itu, aku percaya selain tulisan jawi, tulisan cina, tulisan india juga telah diperkenalkan di Melaka, tetapi orang melayu merasakan bahawa Tulisan Arab itu lebih dekat dengan Islam iaitu agama bagi orang melayu, maka tulisan jawi diperkenalkan. Semenjak itu, tulisan jawi telah menjadi identiti bagi bangsa melayu.

Memertabatkan tulisan jawi, samalah seperti mengidentitikan bangsa melayu yang semakin hilang identitinya kini.

No comments:

Post a Comment