CATATAN PERIBADI

12 June 2011

Tahniah Pasukan Tranung kerana Julang Piala FA. Piala Malaysia ada Harapang.




TAHNIAH TRANUNG KERANA MENJULANG PIALA FA. 

Sebagaimana dijanjikan, aku Aku pergi stadium dengan anak aku. Kebetulan anak saudara aku datang dan dia belanja tiket Grand Stand, maka dapatlah aku duduk dengan selesa sikit. Aku cuba memberikan sedikit gambaran pada saat dan ketika penting perlawanan tersebut.

Walaupun kami dah tahu bahawa Kelantan akan menang kerana masa semakin suntuk dan menunggu wisel penamat sahaja lagi, tetapi kami penonton Tranung tak berganjak dan terus mengharap keajaiban berlaku. Suasana stadium gegak gempita dengan suara sorakan para penyokong kelantan. Pengadil sudahpun melihat kepada jam tangan beliau. Kawan-kawan aku ada yang sudah keluar dari stadium tetapi jumlahnya sangat sedikit. Maih ramai penyokong Tranung yang tidak berganjak. Suasana kelihatan luar biasa. Tidak seperti perlawanan biasa dimana kebiasaannya pada ketika itu, sudah ramai penonton yang keluar kerana memang dah kalah dah. 

Apabila penjaga gol Tranung, Sarbini Alwie mendapat bola pada minit ke 97, kami harapkan dia akan tendang kuat ke arah pintu gol kelantan supaya dikejar oleh pemain,  kerana kami tahu itu adalah tendangan terakhir beliau dalam perlawanan tersebut. Namun, apabila dia memilih untuk mengolek bola tersebut kepada bek kanan, kami tahu bahawa harapan sudah tiada buat Tranung. Para penyokong Tranung dah mula mengumpul rasa kecewa yang mengunung dan mula berpaling ke arah pintu keluar. Namun perancangan dan takdir Allah tiada siapa yang tahu. Siapa sangka, tindakan tidak popular penjaga gol Tranung itu telah mengubah segala-galanya.Apabila bola yang digolek oleh Sarbini Alwee itu singgah ke kaki bek Tranung, beliau tanpa bertangguh terus melorong kepada Ashari Samsuddin. Ashari Samsuddin pun dengan kemahiran gelecekan beliau berjaya melepasi seorang bek Kelantan dan terus  melorongnya  kepada Abd Manaf Mamat. 

Abdul Manaf Mamat sedar bahawa beliau mempunyai satu peluang keemasan untuk menjaringkan gol dan beliau terus merembat rendah tetapi sayang rembatan tersebut  dinafikan oleh kecekapan oleh Khairul Fahmi, dan bola tidak menerjah ke dalam goal. Sekali lagi perancancangan Allah dan Takdir Allah tiada siapa yang tahu, dalam keadaan cemas tersebut, tiba-tiba pemain kelantan iaitu Daud Su telah tertanduk ke dalam gol sendiri dan tandukan tersebut telah mengubah suasana Stadium dengan sorakan dan pekikan para penyokong Tranung. Kami yang sudah tidak bermaya tiba-tiba terpekik kegembiraan. Dalam keghairahan penyokong Tranung itu, maka berhamburanlah botol-botol air ke dalam padang tanpa dapat dikawal lagi. Begitulah suasana pada detik dan ketika Takdir Allah telah berpihak kepada Tranung. Sungguh indah perancangan Allah yang tiada satu makhluk pun yang boleh menandinginya. 

Lihatlah Video detik-detik jaringan gol penyamaan dan Gol kemenangan pasukan Tranung. 





Gol Penyamaan
Gol kemenangan


Sedikit terkilan kerana Tranung tidak cuti tetapi Kelantan pula yang mengumumkan cuti peristiwa. Kami tunggu di Final Piala Malaysia. Peteh Tranung Peteh. Ramalan aku ternyata tepat di sini.

Mingguan Malaysia ada melaporkan seperti berikut.


Pemain gantian wira Terengganu

PEMAIN Terengganu meraikan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.


KUALA LUMPUR– Pemain gantian, Ahmad Nordin Alias muncul wira Terengganu apabila gol kemenangannya pada minit ke-109 masa tambahan membawa skuad Putih Hitam itu menjulang Piala FA 2011 dengan menewaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir yang dramatik, semalam.
Dia yang masuk menggantikan Ismail Faruqi Ashari, merembat masuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat selepas mendapat umpanan tandukan Joseph Kallang Tie daripada satu sepakan sudut sebelah kiri.
Terdahulu perlawanan itu terikat 1-1 selepas 90 minit permainan masa sebenar dengan Kelantan membuka tirai gol menerusi Nurul Azwan Roya pada minit ke-79 sebelum diikat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim dengan jaringan sendiri Daudsu Jamaludin.
Nurul Azwan menewaskan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli menerusi sepakan lambung selepas melakukan larian kencang dan menyambung lorongan bola daripada Shakir Shaari pada minit ke-79.
Ketika perlawanan berlanjutan ke masa kecederaan lima minit dan mencecah penghujungnya dan seolah-olah Kelantan akan merangkul trofi itu kali pertama, anak buah Datuk M. Karathu dikejutkan dengan gerakan Abdul Manaf dari sebelah kanan.
Penyerang Terengganu itu mengutip lorongan bola daripada Ashari Samsudin dari sebelah kanan sebelum menolak menewaskan Khairul Fahmi yang kemudiannya tertanduk ke gawang Kelantan oleh pemainnya, Daudsu.
Kejayaan menjulang trofi pertandingan kalah mati kebangsaan itu sekali gus mengulangi kejayaan Sang Penyu melakukannya buat kali terakhir pada 2000 dengan menewaskan Pulau Pinang menerusi penentuan penalti 4-3.
Menariknya ialah Piala FA kali ini dimenangi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti yang secara kebetulan berasal dari Kelantan dan melatih Pulau Pinang yang ditewaskan lawan dalam perlawanan akhir, 11 tahun lalu.
Sebaliknya kekalahan tipis ini langsung meranapkan impian Kelantan untuk menambah koleksi gelaran kedua Liga Malaysia musim ini selepas menjulang Piala Sultan Ahmad Shah dengan menewaskan Selangor 2-0 pada awal tahun.
Kelantan turut terus kempunan Piala FA selepas dihampakan Selangor menerusi penentuan penalti 4-1 juga di Bukit Jalil, dua tahun lalu selepas mereka terikat 1-1.
Perlawanan akhir edisi ke-22 ini turut disaksikan oleh tetamu kenamaan seperti Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin; Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa.
Sementara itu, jurulatih Terengganu Irfan Bakti memuji pemain yang bangkit untuk menenangi perlawanan.
“Pemain berjuang sehingga ke minit akhir (masa sebenar) untuk mencari gol penyamaan dan mengheret permainan ke masa tambahan, seterusnya memenangi perlawanan,” katanya.
Jurulatih Kelantan, Karathu pula mengakui jaringan penyamaan pada minit akhir masa kecederaan, melemahkan semangat pemain.
“Apabila permainan berlanjutan ke masa tambahan, adalah sukar untuk pemain mengekalkan semangat seperti masa pada masa sebenar,” katanya.



No comments:

Post a Comment