SAHABAT BLOG

10 June 2011

Ayuh, Kita Pakat Gi Stadium Bukit Jalil.



Artikel kali ini  adalah pasal perlawanan Akhir Piala FA di antara Kelantan menentang Terengganu. Kira-kira jam 9:45:35 pagi tadi aku dah pergi ke Stadium untuk beli tiket. Para penyokong masih belum ramai lagi, tetapi aku percaya ramai di kalangan pembeli tiket yang membeli bagi tujuan mengaut keuntungan. Mereka membeli dalam jumlah yang banyak dan menjualnya dengan harga yang tinggi. Pagi tadi ada seorang mamat tu menawarkan kepada aku tiket yang berharga RM30.00 dengan harga RM35.00. Aku percaya harga akan menjadi lebih tinggi menjelang besok kerana pada firasat aku,  tiket-tiket perlawanan yang dijual di Bukit Jalil akan habis menjelang petang ini dan selewat-lewatnya pagi besok. Bagi pihak FAM pula, mereka berniaga. Setiap satu keping tiket yang dijual merupakan perniagaan bagi mereka. Oleh itu, aku tidak hairan jika mereka membenarkan pembeli tiket  membeli dalam jumlah yang banyak. 

Perlawanan malam besok pasti meriah dengan sorakan penonton. Dalam keghairahan itu, akan berlaku insiden provokasi dan  ejekan antara satu sama lain. Suasana perlawanan akhir berbeza dengan perlawanan liga. Para penyokong yang  datang membawa bersama pelbagai gelagat dan perangai. Sebagaimana diketahui ramai bahawa, para penyokong kita bukanlah penyokong kelas pertama seperti liga luar negara, tetapi walaupun demikian, aku harapkan agar para pemain akan bersikap profesional dan tidak terikut sama  dengan emosi para penyokong. Jika berlaku keadaan yang tidak boleh dikawal dikalangan penyokong, aku kesian kepada kanak-kanak kecil yang datang menonton sama. Mereka akan menjadi mangsa keghairahan orang dewasa menyaksikan perlawanan. Langkah mengajak kanak-kanak ke Stadium adalah satu langkah positif dan patut dipuji. Kanak-kanak pun ingin turut sama menyaksikan perlawanan bersejarah dan kenangan itu bakal diceritakan kepada kawan-kawan mereka apabila dewasa kelak. Sekurang-kurangnya dengan mengajak mereka menyaksi perlawanan di Stadium bakal menyuntik minat dalam diri mereka untuk bermain bolasepak. Namun demikian jika agak malang kerana  ramai ibu bapa yang tidak mahu mengajak anak-anak mereka menonton perlawanan di Stadium disebabkan bimbang akan keselamatan anak masing-masing.

Pasukan negeri kelahiran aku iaitu Terengganu nampaknya sedikit goyah akhir-akhir ini. Mereka tewas 2 perlawanan penting di tempat sendiri.  Aku pun hairan dengan sikap para pemain. Ketika inilah sepatutnya mereka melipat gandakan usaha untuk merebut kejuaraan berganda iaitu Piala Liga dan juga Piala FA. Mereka berpeluang untuk memperolehi kedua-duanya tetapi mereka mensia-siakan peluang tersebut. Kami sebagai penyokong, sudah tentu mengharapkan para pemain bermain dengan bersungguh-sungguh tanpa mengena erti putus asa. Mereka kena tingkatkan lagi stamina kerana itu adalah perkara paling utama. Lihat sahaja pemain profesional luar negara, walaupun 90 minit  bermain, mereka masih tidak menunjukkan keadaan letih dan penat. Mereka masih mampu untuk berlari pantas mengejar bola dan menghadang pemain lawan. Skil mereka tidak hilang. Berbeza dengan pemain Terengganu, mereka cepat penat dan letih. Apabila penat dan kurang stamina, maka otak kurang cerdas dan penyakit malas pun datang. Mereka malas untuk mengejar pemain lawan ataupun malas untuk mengejar bola. Skil hantaran dan juga skil mengelecek pun semakin kurang apabila badan letih. Oleh itu, aku percaya, jika pemain Terengganu dapat meningkatkan stamina mereka, Insyaallah peluang untuk menjulang piala FA pada tahun ini adalah cerah.

Ayuh, kepada peminat Terengganu, kita kasi gegar stadium Bukit Jalil malam besok. Kita tenggelamkan sorakan Red Warrior dengan sorakan 'Peteh Tranung Peteh'. Insyaallah aku dan anak aku akan berada dicelah-celah penonton dan aku pasti bahawa aku adalah penonton yang berdisiplin. Jika semua penyokong menanam dalam diri masing-masing untuk menjadi penyokong berdisiplin, Insyaallah kejadian yang tidak diingini boleh dielakkan.




No comments: