CATATAN PERIBADI

01 February 2011

KISAH TUJUH LANUN SOMALIA

Berita ini dikemaskini pada 13 Februari 2011.

Kerajaan malaysia telah mendakwa tujuh lanun Somalia atas tuduhan melepaskan tembakan ke arah pasukan angkatan Tentera Malaysia (ATM) di atas kapal dagang Bunga Laurel dengan niat merompak di perairan Oman pada 20 Januari 2011. Jika sabit kesalahan, kesemua lanun itu bakal dijatuhkan hukuman mati mandotori (wajib mati).

Secara peribadi aku berpendapat, langkah kerajaan ini sebenarnya bertujuan untuk mengambil nyawa atau mematikan lanun-lanun itu secara sah supaya tidak menimbulkan sebarang masalah di kemudian hari. Sudah pasti perbicaraan yang bakal berlangsung akan mengambil masa yang tidak lama dan aku yakin tidak ada peguam yang sanggup untuk mewakili ke tujuh=tujuh lanun terbabit. Bacalah berita di dalam utusan seperti di bawah ini untuk keterangan lanjut.

Berita selanjutnya berkenaan lanun-lanun ini akan sentiasa dikemaskini.

7 lanun Somalia tembak ATM

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 11 Feb. – Tujuh lanun Somalia bakal berhadapan hukuman mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melepaskan tembakan ke arah pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di atas kapal dagang Bunga Laurel dengan niat merompak di perairan Oman 20 Januari lalu.

Ketujuh-tujuh tertuduh yang berusia antara 15 dan 25 tahun itu ialah Ahmed Othman Jamal, Abdil Eid Hasan, Koore Mohamed Abdile, Abdi Hakim Mohd. Abdi, Hasan Yusuf Ahmed, Kasayah Dhalin Hussein dan Mohd. Abdi Ibrahim.

Pertuduhan dibacakan dalam bahasa ibunda tertuduh oleh jurubahasa sementara warga Somalia, Yaser Mohamad Ahmad yang merupakan penuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mereka didakwa telah melepaskan tembakan ke arah pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan niat untuk mendatangkan kematian atau kecederaan bagi tujuan rompakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di atas kapal dagang Bunga Laurel di koordinat Latitud 20’ 14.73N Longitud. 083’ 39.96E, 250 batu nautika (436 kilometer) dari perairan Oman antara pukul 8.10 malam dan 10 malam, 20 Januari lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memahami pertuduhan yang dibacakan pada pukul 4.15 petang ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh Majistret Siti Shakirah Mohtarudin daripada kesemua warga asing itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas mengemukakan surat perakuan dan sanksi (kebenaran sebelum meneruskan sebarang tindakan kepada mana-mana pihak) dari Pejabat Peguam Negara yang menyatakan, perbuatan tertuduh memberi kesan kepada keselamatan negara.

Beliau seterusnya memohon tarikh sebutan untuk melengkapkan dokumen bagi memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Siti Shakirah menetapkan sebutan semula kes pada 15 Mac ini.

Menurut laporan akhbar, dalam kejadian itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan kapal dagang tersebut selepas dua jam ditawan lanun-lanun itu.

Kesemua tertuduh ditahan reman selama 11 hari bermula 31 Januari lalu selepas tiba di negara ini dan ditempatkan di Pusat Tahanan Sementara, Balai Polis Bukit Jalil di sini.




KISAH 7 LANUN SOMALIA

Wajarkah 7 orang yang dikatakan Lanun Somalia di bawa balik ke Malaysia untuk dibicarakan?

-Siapa yang akan menjadi pembela mereka?.

-Adakah mereka akan didapati bersalah atau dibebaskan?.

-Jika bersalah, dimanakah mereka akan dipenjarakan?

-Jika dibebaskan, kemanakah mereka akan di hantar?.

-Siapakah yang akan menguruskan penghantaran pulang mereka?

-atau adakah mereka akan diberi kebebasan untuk memilih kemana hala tuju mereka?

-Kalau memang mereka lanun, kenapa tidak dihapuskan sahaja semasa operasi menyelamat itu?

-Siapa yang mengarahkan mereka di bawa balik?

-Kenapa tidak ditinggalkan dimana-mana pulau?

-Kenapa tidak diserahkan diserahkan kepada kerajaan Somalia kalau benar mereka warganegara Somalia?

Banyak betul persoalan yang bersarang di dalam kepada aku pagi ni. Manusia, jika lapar, otak mereka menjdi semakin kreatif berbanding semasa mereka kenyang.
Kita akan lihat siapa yang akan mensensaikan isu ini untuk kepentingan politik mereka. Aku tidak hairan jika ada pihak yang akan mencari political mileage atas isu ini kerana memang sudah menjadi budaya dan tradisi parti politik di Malaysia, apa jua perkara yang berlaku, pasti ada pihak yang akan mencari peluang untuk mengaut keuntungan politik.

Apa-apa pun, aku ucapkan Tahniah dan bangga dengan tindakan dan kepantasan pihak TLDM menyelamatkan Kapal MT Bunga Laurel.

Baca berita di bawah atau baca Utusan hari ini untuk ketahui berita lanjut.
7 lanun Somalia tiba di Malaysia
Oleh Rozianah Risman
penganrang@utusan.com.my


DUA daripada tujuh lanun warga Somalia dibawa anggota polis menaiki bas selepas mendapat perintah tahanan reman di Balai Polis Bukit Jalil, semalam.
________________________________________

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Tujuh lanun rakyat Somalia yang ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semasa cuba merompak sebuah kapal dagang MT Bunga Laurel di Teluk Aden, pada 20 Januari lalu, tiba di sini hari ini untuk didakwa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya akan mengambil-alih siasatan kes warga asing itu yang tiba di Pelabuhan Klang awal pagi tadi.
Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti identiti kesemuanya memandangkan mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
"Sehubungan itu, pemeriksaan Imigresen akan dilakukan bagi mengenal pasti kewarganegaraan mereka.

"Polis juga akan menjalankan soal siasat terhadap anak-anak kapal yang menyaksikan kejadian itu dan anggota-anggota Paskal (Pasukan Khas Laut) TLDM.

"Tahanan-tahanan turut dibawa menjalani pemeriksaan di hospital bagi mengetahui tahap kesihatan mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian pusat media Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, TLDM berjaya menyelamatkan kapal dagang MT Bunga Laurel selepas dua jam ditawan lanun, kira-kira 300 batu nautika (555 kilometer) di timur Oman.
Misi menyelamat itu dilakukan bersama kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) TLDM, Bunga Mas 5 yang terlibat dalam Operasi Fajar bagi memberi perlindungan kepada kapal MT Bunga Laurel itu ketika melalui perairan Teluk Aden.

Tambah Ismail, kesemua warga asing terbabit ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, melalui sistem tersebut, pihaknya yakin dapat menyalurkan maklumat dengan tepat, cepat dan terkini serta interaktif terus kepada masyarakat.
"Ini merupakan satu usaha polis dalam meningkatkan sistem pengurusan bagi memastikan penyampaian maklumat dapat dilakukan dengan lebih terancang.
"Pada masa sama kita juga ingin melatih dan meningkatkan keupayaan pasukan agar dapat menyalurkan maklumat dengan tepat, cepat serta efektif kepada pihak media (massa dan elektronik)," katanya lagi

No comments:

Post a Comment