CATATAN PERIBADI

15 June 2009

pULANG kAMPUNG 050609

Perjalanan Pulang

Minggu lepas pada 05062009, aku dan keluarga telah berangkat pulang ke kampung halaman kami di Kuala Berang. Selepas habis kerja , kira-kira jam 10.30 malam, aku pun berangkatlah menaiki WAJAku ( sebenarnya kereta aku dan isteri aku berkongsi, dia bayar mukanya sebanyak RM12,000.00 manakala aku yang bayar ansuran bulanan sebanyak RM540.00 sebulan ) membelah waktu malam. Sebelum selepas waktu Isyak, aku cuba melelapkan mata sedikit. Angah pun turut serta. Yang terlelap dia, bukan aku. Jam 10.00 malam, isteri aku dah mula bising. Dia kata, kalau lambat macam ni, baik bertolak waktu pagi sahaja.

Kebiasaannya dalam perjalanan aku akan minum Red Bull sebanyak 2 tin untuk mengembalikan tenaga yang hilang dan juga untuk menahan rasa mengantuk mata, tetapi oleh kerana Red Bull ni terlalu banyak gulanya, dan tak elok untuk kesihatan, maka aku pun bertukar kepada air minumam ECPI. Aku beli botol besar 1.5 liter. Sampai di hentian rehat Temerloh, aku berhenti untuk perkena kopi ‘mai secawan’. Anak-anak tidur, kalau tidak asyik bergaduh sahaja di kerusi belakang. Biasanya angah yang dominan dalam merebut tempat. Sampai di Hentian Kuantan, aku berhenti sekali lagi untuk membasuh muka dan menyegarkan sedikit badan. Selepas berhenti di hentian rehat sebelah Kuantan, aku pun meneruskan perjalanan hinggalah ke Kuala Berang. Kami sampai di rumah kira-kira jam 6.00 pagi. Alhamdulillah tidak ada apa yang menyulitkan sepanjang perjalanan. Jalanraya pun tidaklah sibuk Cuma sekali sekala ada kenderaan berselisih. Aku bawak kereta pun dalam keadaan tenang dan sekali-sekala meter kelajuan mencecah 130 kmph. Sampai di kampung, sudah sedia menunggu mak mertua aku. Aku pun terus sembahyang subuh dan selepas itu melelapkan mata. Mengantuk pulak rasanya.

Hari Pertama

Aku bangun kira-kira pukul 0800 pagi. Itupun setelah puas dikejutkan oleh isteri aku. Angah masih belum bangun. Sarapan pagi makan laksam. Makanan yang susah nak cari di KL. Tak ada apa-apa perubahan yang kudapati di kampung isteri aku. Pagi aku ke Bandar Kuala Berang. Niat di hati nak beli kasut bundle, tapi tak ada yang jual. Aku beli ikan kering dan ikan bilis sahaja. Bandar Kuala Berang masih tak berubah, Cuma pasar dah nak siap. Sekarang ni sedang dipasang kerangka untuk bumbung. Besi kesemuanya. Tengahari, aku pergi melawat adik perempuan aku yang masuk wad. Aku pergi sorang je, anak-anak letih tak nak ikut. Lepas melawat, aku ajak anak-anak pulang ke kampung aku pulak untuk menziarahi mak aku dan di samping itu nak makan gulai orang kahwin. Mak mertua aku dah bagi tahu, sepanjang aku berada di kampung, setiap hari ada jemputan makan gulai. Hari Sabtu di kampung aku, Ayah Ku Daud, kahwinkan anak dia. Hario Ahad di Kampung ATelaga, Pak Harun Tukang Gunting, Hari Isnin, Pak Him Kedai Iklan kahwinkan anak dia, hari Selasa iaitu hari terakhir aku berada di kampung, Mokhtar jiran isteri aku pulak kahwin. Jadi kesimpulannya setiap hari boleh makan daging lembu segar percuma ( kena bayar juga sebagai hadiah kepada tuan rumah ). Ini adalah jemputan kenduri yang dijangka aku akan hadiri. Hakikatnya jadi lain. Nanti aku ceritakan.

Balik ke kampung aku, aku lihat masih tak berubah. Suasana macam dulu juga sama seperti 3 bulan lepas kecuali aku dapati sudah ada pokok-pokok durian yang berputik. Persekitaran pun masih sama seperti 10 tahun dulu kecuali ada beberapa buah rumah baru didirikan termasuk PPRT ada dua tiga buah. Aku tak balik ke rumah terus tetapi aku terus singgah ke rumah Ayahku Daud. Angah dan Acik ( anak aku yang ke tiga. Dia tak suka dipanggil sebarang gelaran, cukup sekadar panggilkan dia kakak atau nama je). Aku makan sedikit sahaja. Lain pulak rasanya gulai Ku Daud kali ini. Mungkin kombinasi lauk tak kena kot. Aku ambil daging, sayur taruk dan sayur nangka serta ikan kering. Memang tak kena kerana nasi akan jadi terlebih kuah.

Mak dan kakak aku ada membantu orang di tempat “bek wah” tu. Selepas makan, aku ajak anak-anak aku pulang ke rumah orang tua aku. Bila sampai tak ada orang pulak. Sayu jadinya. Masa arwah ayah aku ada, dialah yang sentiasa berada dirumah. Duku-duku di sekeliling rumah dah mula berputik. Taklah banyak mana, tetapi kalau nak makan, puaslah. Pokok manggis pun sudah berputik. Pokok manggis tu bukan kami tanam, tetapi takdir Allah dia tumbuh dan membesar di tanah kami. Rambai pun begitu lebat. Rambai nipun tak kami tanam, tetapi jadi wakaf di kawasan perumahan aku tu. Maklumlah, tanah yang kami buat rumah itu adalah tanah orang tua-tua dulu yang tidak dibahagi secara faraid. Jadi sesiapa yang ada talian dengan pemilik asal, maka dia boleh membuat rumah dan memetik segala buah-buahan yang ada disitu yang tumbuh secara tidak sengaja. Kalau di tanam, tak bolehlah. Dulu, masa arwah ayah masih ada, dia pagar sekeliling rumah, maka lembu-lembu pun tak ada harapan nak masuk dan berak merata-rata. Namun sekarang ni, tahi lembu merata-rata. Terdetik dalam hati aku nak buat pagar. Kesian kepada mak dan adik perempuan aku, hari-hari buang tahi lembu. Bukannya lembu kami, tetapi lembu orang kampung.

Setelah berada seketika di rumah aku, nak duduk lama pun tak ada orang. Maka kami pun balik ke rumah isteri aku.

Hari Kedua.

Hari Ahad, ada kenduri di kampung Telaga. Aku bangun lewat sedikit, kira-kira jam 6.45 pagi. Isteri aku dah menjerit suruh aku sembahyang subuh. Aku lekas-lekas sembahyang subuh bimbang luput waktu. Anak-anah masih tidur. Angah paling jaguh tidur. Yang lain-lain pukul 0700 pagi dah bangun. Aku sambung berbaring di tempat tidur. Bukan niat nak tidur, tetapi tak tahu nak buat apa. Lama kelamaan terlelap pulak aku di samping angah. Kira-kira pukul 0830 pagi, isteri aku dah bising panggil makan pagi. Hari ini, laksam masih ada, tetapi aku pilih nasi lemak. Kueh apam berkuah pun ada. Kalau sebelum umur aku 40, banyak aku makan, tetapi semenjak umur 40 tahun ni, aku dah mula kurangkan makan.

Pukul 0900 pagi, aku bergegas ke kampung kau kerana niat nak pergi lihat kebun arwah ayah aku. Kebun terletak di bawah kaki Bukit Paloh. Nak ke rumah aku kena lalui kebun dulu, tetapi jauh ke dalam sedikit. Aku pulang dulu dan capai parang. Cadang nak menebas sedikit. Mak aku tak ada di rumah, entah pergi ke mana. Sebelum ke kebun aku singgah dulu di kuburan kerana menziarahi kubur ayah aku dan ayah Su Aku (pak saudara aku). Sekarang ni orang kampung halang pintu pagar kubur dengan buluh. Walaupun tak berkunci tetapi seolah-olah berkunci juga kerana halangan yang dilakukan cukup sukar untuk dirungkaikan. Ada baiknya, lembu-lembu tak dapat masuk dan merosakkan batu-batu nesan tetapi pada pendapat ada kaedah lain, dam tak sepatutnya mereka berbuat demikian, ini seolah-olah menghalang orang ramai nak berkunjung ke kubur. Memang benar kalau nak bersedekah untuk si mati, tak semestinya ke kubur. Namun aku mengambil pendirian, menziarahi kubur amat penting untuk melahirkan rasa kasih dan sayang kepada si mati dan di samping itu boleh melihat dan memelihara kebersihan kubur. Apabila rasa kasih terlahir, maka rajinlah waris-waris sedekahkan pahala bacaan ayat-ayat suci Al Quran kepada simati. Oleh itu, aku kurang bersetuju tindakan orang kampung aku yang mengunci pintu pagar kubur. Aku pun tak ada cara lain, terpaksa memanjat pagar kubur. Aku dapati, kubur arwah ayah aku taklah semak mana, Cuma tumbuh kemucuk-kemucut ataupun orang kampung aku panggil ‘put’sit’. Aku dapati ada beberapa kubur baru. Aku dapat agak tentu kubur, arwah Pak Salleh, arwah Mak Su Siti kerana mereka masih baru meninggal dunia. Setelah sedekah Al Fatihah kepada arwah ayah aku, aku beredar ke kubur arwah Pak Saudara aku itu adik ayah aku yang terletak tak berapa jauh dengan kubur ayah aku dekat pokok cempedak. Seperti kubur ayah aku, kubur Ayah u aku pun tak semak. Aku mencabut kemucut dan anak senduduk yang cuba nak tumbuh di kubur mereka. Kubur ayah aku je yang menggunakan nesan batu bukit manakala kubur-kubur lain, semuanya menggunakan nesan yang ditempah.

Setelah selesai di kubur,akupun pergilah ke kebun. Tak jauh manapun lebih kurang 500 meter sahaja. Sebelum sampai ke kebun ayah aku, aku kena tempuh kebun Pak Man Tokey Rotan ( arwah). Semenjak dia meninggal dunia, kebunnya dah naik belukar muda. Semak samun. Mungkin juga kerana durian kurang menjadi, maka kebun dia tak diuruskan oleh warisnya. Nak tebas buat apa, bukanya nak tanam jagung kot. Semasa kecil dulu, ayah aku ajak aku pergi ke kebun untuk pungut buah limau nipis. Sekarang ni pokok limau yang tumbuh di atas sebuah busut dah tiada. Busut masih ada, dah tumbuh pokok petai. Baru lagi matinya pokok limau yang banyak berjasa tu. Sampai kekebun, aku dapati taklah semak mana. Masih boleh nampak dari hujung ke hujung kerana kebun arwah ayah aku tak luas mana pun, tak sampai seekar. Menurut arwah ayah aku, kebun itu diserahkan oleh arwah atuk aku kepada arwah Ayah Ngah aku dan arwah Ayah Su aku. Namun belum tukar nama lagi, masih nama atuk aku Ismail bin Salleh. Manakala arwah ayah aku ada kebunnya sendiri yang memang tercatat nama dia Abd Rahman bin Ismail. Masa arwah Ayah Su masih ada, dialah yang mengusahakan kebun tu dalam konteks tanam pokok durian dan cempedak Manakala arwah Ayah aku yang sebenar-benarnya mengusahakan kebun ni. Suatu ketika dulu, semasa padi huma masih diusahakan oleh penduduk kampung, ayah dan mak aku akan mengusahakan tanah kebun inilah untuk berhuma. Ayah Ngah aku ada dua orang anak, dan mereka langsung tak usahakan tanah tu kerana mereka duduk di kampung lain.

Aku mencatas tunas-tunas senduduk untuk mengeluarkan peluh. Aku cadangkan nak tebas semua, tetapi parang pulak tak selesa kerana hulu parang asyik nak terlepas dari tangan je. Aku pun berjalan sekitar kebun buat seketika untuk melihat kalau ada putik-putik durian. Aku dapati ada sepokok yang agak lebat. Pokok yang dah biasa berbuah, tetapi aku kesian kerana pokok itu dah nampak uzur. Terdapat beberapa dahannya yang mati. Belum lagi tua usianya. Kalau nak dibandingkan dengan pokok di kebun jiran-jiran yang boleh tumbuh menyapu awam dan berbanir-banir akarnya. Apa pasal. Mungkin disebabkan kurang baja kot. Nantilah suatu masa bila aku ada kesempatan, aku akan carikan baja untuknya.


Setelah meninjau pokok durian dan petai, aku tinjau pulak pokok cempedak. Banyak buahnya, tetapi tak tahulah macamana nak jadikan ianya bernilai kerana aku tak ada masa nak balut. Kalau tak balut, tupai banyak. Tak sampai 1 jam aku meninjau-ninjau di kebun, akupun ambil keputusan untuk pulang. Berpeluh jugaklah badan aku. Nasib baik pacat tak ada, entah kemana pulak mat pacat ni menghilang, kalau tidak kenyang jugaklah beberapa ekor dari mereka dengan darah manis aku.

Tak berapa lama, aku pun pulang ke rumah. Lepas sembahyang zohor lebih kurang pukul 30 petang aku, sekali lagi ke rumah mak aku untuk ajak dia makan kenduri di kampung Telaga pulak. Mak mertua aku turut serta. Along, Angah dan Acik ikut serta. Lepas makan kenduri, aku dan mak aku serta angah pergi ke wad untuk ziarah adik perempuan aku. Lepas itu, kami ke kampung Pauh, untuk makan kenduri. Kenduri arwah saje. Di kesempatan itu juga, kami ke rumah abang aku di kampung Pauh. Balik dari rumah abang aku, kami singgah di Gaung untuk beli jagung. Banyak jagung di Kampung Gaung. Sekarang ni musim jagung hybrid dan kacang tanah. Kata orang, jagung hybrid tu manis dan tak jadi masalah jika nak makan mentah. Jika nak lebih sedab, cukup sekadar mencelupkan dalam air panas. Petang tu aku tak beli jagung hybrid kerana mak aku beli jagung di kedai kawan dia. Jagung kampung. Beli dan beri percuma sama banyak.Kampung Gaung memang terkenal dengan jualan jagung kepada pelancong yang nak pergi ke empangan Kenyir. Boleh dikatakan jagung ada setiap masa kerana jika tak ada jagung tempatan, jagung siam akan mengambil tempat. Harga ikut keadaan, kata orang, RM10 dapat membeli 8 tandan jagung hybrid, kalau jangung tempatan yang bukan hybrid, RM6 dapat membeli 10 tandan. Malam tu aku tak makan jagung lagi kerana nak buat pengat pada esoknya.

Mak aku pulang ke kampung dengan adik ipar aku.

Hari ke Tiga

Isnin, aku bangun tidur awal sedikit. Pukul 0630 pagi. Macam biasa, anak-anak masih tidur kecuali si Nina. Dia dah bangun untuk minum susu. Sepupu isteri aku dari Felda Mengkawang datang. Cadang nak pergi ke Felda Mengkawang ke rumah sepupu isteri aku, tapi mak aku ajak ziarah besan dia yang masuk wad. Adik dah boleh keluar wad. Tengahari, aku ambil mak untuk ke Hospital Nur Zahirah Kuala Terengganu. Angah dan Kakak ikut. Along tak ikut. Anak saudara aku ikut juga dan juga anak tiri adik aku. Sampai ke Hospital, susah betul nak cari parking. Aku terfikir mungkin sudah sampai masanya kerajaan Terengganu fikirkan untuk buat parking bertingkat. Dah lama dah aku fikirkan perkara ni, tetapi tak pernah pemimpin negeri terfikir perkara yang sama. Besan mak aku sakit barah ovari tahap 4. Hari ini dia boleh keluar wad. Dia masuk wad buat kali ke dua. Dah buat kimoterapi. Ada sekali lagi pada akhir bulan ni. Masa aku tulis cerita ini (120609), dia masuk wad semula kerana sesak nafas.

Lepas ziarah, kami pergi makan di medan selera dekat Batu Buruk. Lepas itu, kami ke Pasar Kedai Payang. Pasar Kedai sesak dengan pelancong. Maklum saja cuti sekolah. Aku beli kompang untuk Angah. Harganya RM55 satu. Apa lagi tepuk kompanglah dia sepanjang perjalanan mencari barang di Pasar. Beli keropok dan budu serta serunding. Untuk kawan-kawan pejabat aku belikan dodol dibungkus dalam daun palas. Kira-kira pukul 0300 petang, kami bertolak dari Kedai Payang dan terus ke Hospital Hulu Terengganu untuk ambil adik aku yang telah keluar wad. Sepatutnya hari ini ada jemputan makan gulai di rumah Pak Him Iklan, tetapi tak pergilah nampaknya.

Selepas hantar mak dan adik ke kampung, aku balik kerumah di Kampung Buluh. Pukul 0600 petang, aku, isteri dan anak-anak pulang ke kampung aku. Lepas Maghrib kami pulang kerana nak pergi ke Kelinik Mamad untuk bertindik telinga Along dan Kakak. Telinga along ditindik buat kali kedua kerana dah tertutup lubang tindik yang pertama. Angah ikut serta tetapi bukan untuk bertindik sekadar Jalan-jalan cari makan dan mainan. Dapatlah buah durian dan komik.

Hari ke Empat

Selasa. Pagi aku bangun awal. Pukul 0530 pagi aku dah bangun. Ni memang amalan aku. Cadang nak ke masjid, tetapi entah macamana tak pergi juga akhirnya. Yang penting niat dah dapat pahala. Pagi ni sarapan pagi nasi lemak yang dihantar oleh Jiran. Lepas tu, makan pengat durian jagung yang mak mertua aku buat semalam. Isteri aku sejak balik asyik menjahit sahaja. Katanya nak menjahit kain untuk uniform pejabat dia. Siaplah tetapi kecik, ketat. Pagi lagi adik dan mak aku datang. Adik nak hantar kacang kepada kawan dia di hospital manakala mak nak Bantu orang kenduri di rumah Mokhtar. Entah tiba-tiba terasa nak ajak anak-anak aku pergi mandi di Sekayu. Aku pun ajaklah mereka pergi ke Sekayu. Bukan main seronok anak-anak aku kerana mereka tak pernah pergi, cuma mendengar cerita sahaja. Angah kesejukan bila mandi, dan memang sejuk pun air terjun Sekayu. Along takut ikan gigit dia. Aku faham kerana selama ni asyik mandi air kolam je Orang masih belum ramai lagi. Kami tak pergi ke tempat air terjun bertingkat, Cuma mandi di Bahagian tenang saje.. Kalau dulu terdapat pihak yang kutip tiket, tetapi sekarang ni dah tak ada. Bangunan kedai yang terdapat ditempat paking pun dah dirobohkan. Apa nak jadi, makin mundur jadinya. Aku cadangkan kepada pihak-pihak yang berkenaan, tambahkan nilai-nilai baru kepada Sekayu supaya lebih maju dan menarik perhatian. Jadikan Sekayu itu sebuah resort dan juga kawasan perkelahan. Aku tak boleh nak buat perbandingan jumlah kedatangan pengunjung kerana perbandingan hanya boleh dibuat pada hari Jumaat sahaja kerana kalau dahulu, setiap Jumaat, Sekayu akan penuh dengan pengunjung dari dalam dan luar negeri Terengganu terutama Kelantan. Namun jika dilihat kepada pembangunannya , aku dapati makin merosot.

Sekayu hendaklah disuntik dengan nilai tambah baru supaya ianya menjadi terkenal semula dan menjadi lokasi wajib kepada pelancong yang melawat Terengganu. Dengan ini secara tidak langsung akan memberi pulangan berganda kepada penduduk sekitar dan para peniaga di Kuala Berang. Apa kelebihan Sekayu dan apa kekurangan yang ada. Kelebihan yang saya nampak adalah keindahan air terjunnya. Kelebihan ini hendaklah dipasarkan secara agresif melalui pelbagai Media. Kekurangan yang ada hendaklah dikenalpasti dan diperbaiki segera. Soal selidik hendaklah dilakukan kepada pengunjung semasa dan juga pengunjung yang pernah ke Sekayu. Cadangkan beberapa pembangunan dan tanyakan apa yang mereka mahu dibangunkan di Sekayu. Mungkin ada diantara responden yang pernah mengunjung Sekayu yang memang pakar dalam industri perlancongan yang memberikan idea dan cadangan. Ini mesti dilakukan jika kerajaan nak melihat Sekayu maju seantera dunia sepertimana terkenalnya air terjun Niagara. Aku pernah terfikir untuk mencadangkan supaya kerajaan membuat kereta kabel dari bawah hingga kepuncak Sekayu. Tak tahulah jika ada yang terfikirkan sedemikian.

Lebih kurang 1 jam meluangkan masa untuk mandi-manda di Sekayu, kami pun pulang. Anak-anak masih mahu mandi, tetapi oleh kerana pada tengahari kami nak balik ke KL, maka aku patahkan niat mereka itu. Sampai di rumah, aku diminta oleh isteri aku untuk mengemaskan barang-barang yang dah dipacking elok-elok ke dalam kereta. Lepas makan kenduri di Rumah Ayah Wa Sulaiman, ataupun rumah Mokhtar, kamipun bertolak lebih kurang pukul 0100 tengahari. Mak dari kampung bekalkan buah betik 3 biji. Mak mertua aku bekalkan serai, lengkuas dan kuncit. Berai, Benih Kunyit dan Benih Lengkuas untuk adik lelaki aku tanam di tepi rumah barunya.

Pulang Ke Kuala Lumpur

Kami bertolak pulang pukul 0100 petang. Kami singah di Pekan Ajil sekejap untuk beli keropok. Jalanraya macam biasa dan tidak sesak seperti musim perayaan. Kami berhenti hentian rehat Bandar Al- Muktafibillah Shah untuk sembahyang Zohor dan membeli minuman. Aku beli satu tin Livita untuk tambah tenaga. Aku bawa kereta perlahan saja. Paling lajupun dalam 110 kmph. Sampai di Hentian rehat sebelah Kuantan kami berhenti rehat sekejap untuk membasuh muka dan ke tandas. Seterusnya kami berhenti di Hentian Rehat Temerloh untuk sembahyang Ansar. Perjalanan amat lancar sekali dan kami sampai ke rumah sekitar jam 0800 malam. Kalau sebelum ni, aku akan terasa mengantuk, tetapi Alhamdulillah perjalanan kali ini amat memuaskan, langsung tak mengantuk mata. Inilah perjalanan kami pulang ke kampung pada 05 Jun 2009. Catatan begini sebenarnya untuk tatapan anak cucu aku suatu masa akan datang.

No comments:

Post a Comment