CATATAN PERIBADI

28 January 2014

Indeks Kehendak Pengguna Mengawal Kos sara Hidup

Isu kenaikan kos sara hidup ini sebenarnya bukanlah isu yang patut diperbesarkan kerana tiada siapa boleh sangkalkan bahawa harga barang tentunya bakal naik dan tiada yang kekal. Cuba senaraikan harga barang yang masih sama 2 tahun yang lalu dengan harga sekarang ini. Jawapannya hampir tiada. Maknanya harga barang ini jika tidak dikawal oleh kerajaan melalui pemberian subsidi, akan sentiasa tidak menentu. Kadang-kadang ia naik dan kadang-kadang ia turun. Siapa yang mengatakan harga barang yang naik tidak akan turun, jawabnya mereka ini tidak pernah pergi ke pasar untuk membeli lauk pauk. 

Yang menjadi isu besar adalah Indek Kehendak Pengguna ataupun Indek Nafsu Pengguna. Indek Kehendak Pengguna semakin hari semakin meningkat dan meninggal jauh Indek Keperluan Pengguna terutama bagi mereka yang mendiami bandar-bandar besar. Maksudnya kehendak pengguna ini semakin hari semakin meningkat. Perkara ini memburukkan lagi keadaan bilamana Indek Harga Pengguna juga turut meningkat pada masa yang sama. 

Kehendak ini banyak didorong oleh nafsu. Apabila kita berbelanja dipandu oleh nafsu, maka kita akan sentiasa tidak akan merasa cukup dan setiasa sahaja tidak senang dengan kenaikan kos sara hidup. Kenaikan harga barang walaupun sepuluh sen, telah menjadi isu besar kerana nafsu kita mengatakan bahawa, kenaikan harga barang ini bakal menyusahkan kita sedangkan hakikatnya yang bakal menghadapi masalah ialah nafsu kerana apabila harga barang dan kos sara hidup naik, maka nafsu tidaklah boleh berleluasa untuk melakukan pembaziran. Pada masa itu akal pula yang akan memainkan peranan dan akal adalah musuh nafsu. Akal dan nafsu sering kali tidak sependapat dalam banyak perkara. Beruntuglah sesiapa yang hidupnya diterajui oleh akal, maka rugilah mereka yang hidupnya dikawal oleh nafsu.

Kesimpulannya, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk mengawal kenaikan kos sara hidup. Yang paling penting dan paling berkesan untuk mengawal kos perbelanjaan ataupun kos sara hidup adalah individu itu sendiri. Jika mereka berbelanja menggunakan akal dan mengelakkan pembaziran, aku percaya kos sara hidup mereka akan terkawal. Namun demikian, jika mereka berbelanja dengan mengikut hawa nafsu dan sering tidak mengendahkan pembaziran, maka kos sara hidup mereka akan sentiasa meningkat. Dalam erti kata lain kos sara hidup adalah ditentukan oleh indeks kehendak pengguna dan bukannya indek harga pengguna.

No comments:

Post a Comment