Di bawah ini adalah sebuah artikel benar dan menarik sekali untuk direnungi yang ditulis oleh Prof. Dr. Mohd Zainul Fithri bin Datuk Othman. Artikel yang sebegini aku percaya tidak akan dimuatkan dalam mana-mana akhbar ataupun blog pro pembangkang kerana pembangkang sekarang ini sedang mengalami satu sindrom iaitu mereka tidak mahu menerima kebenaranan yang ditunjukkan kepada mereka, tetapi mereka lebih suka mereka-reka kepalsuan yang mereka pegang sebagai kebenaran.
Melayu sudah tak ambil peduli!
PROF. DR. MOHD. ZAINUL FITHRI DATUK OTHMAN
Pada 23 September lalu, saya terbaca satu artikel yang bertajuk Suara Hati Tun Dr. Mahathir Mohamad di Mingguan Malaysia. Ketika saya membacanya, remang bulu roma saya mendengar cerita yang dilalui sendiri oleh Dr. Mahathir.
Waktu saya kecil, cerita seperti ini sering diceritakan oleh opah saya yang melalui penjajahan British, Jepun dan Bintang Tiga. Cerita yang sama juga diceritakan oleh ayahanda saya yang juga Ketua Penerangan UMNO di waktu zaman Tuanku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.
Saya bertanya dengan opah mengapa menceritakan ini semua kepada saya. Opah saya menjawab bahawa cerita ini hendaklah diketahui oleh orang muda seperti saya yang lahir di zaman pasca kemerdekaan. Cerita ini adalah pengajaran buat saya dan saya harus menceritakan kepada anak-anak saya nanti.
"Peristiwa penjajahan ini harus difahami oleh kamu supaya kamu tidak lupa bahawa orang sebangsa dengan kamu iaitu orang Melayu pernah dijajah dan orang Melayu begitu hina sekali dibuat oleh penjajah ini," kata opah.
Saya bertanya kepada opah: "Apakah kaum lain seperti Cina dan India tidak dihina oleh penjajah ini?" Opah menjawab: "Kamu mesti faham bahawa orang Cina pedagang dan pekerja lombong-lombong besar. Mereka berniaga dengan siapa sahaja yang boleh memberikan keuntungan kepada mereka. Sesiapa sahaja yang tidak menguntungkan, mereka tidak akan mengendahkan, ini termasuklah orang Melayu."
Opah memberitahu saya lagi: "Orang India adalah pekerja di estet-estet getah kepunyaan orang Putih." Mereka ini bekerja dan bila ada duit banyak, mereka hantar ke negara ibunda mereka. Ada juga yang bawa keluarga mereka ke Tanah Melayu untuk bersama-sama bekerja dengan mereka." Daripada apa yang diceritakan oleh opah saya, maka saya melihat bahawa mereka ini adalah survival society manakala orang Melayu adalah deprived society.
Kebanyakan orang muda tidak suka mendengar cerita yang dianggap sudah outdated atau too nostalgic. Orang muda yang lahir pada tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an tidak merasa penting mengetahui perkara-perkara ini.
Ibu bapa yang sibuk mencari kemewahan dunia juga tidak peduli sama ada anak mereka ini tahu sejarah asal usul negara atau keturunan bangsa sendiri. Ibu bapa Melayu lebih pentingkan anak dapat berapa A dalam SPM, dapat masuk atau tidak ke universiti dan sebagainya.
Akhirnya, kelompok generasi Y ini mengetepikan soal bangsa Melayu, bangsa mereka sendiri yang pernah ditindas, ditendang, disepak terajang, dimaki, diusir keluar, dan ada nada kurang ajar menyuruh agar bangsa ini dihancurkan.
Orang Melayu muda tidak peduli. Orang Melayu tua sudah tidak ambil peduli. Orang Melayu profesional sudah berani mendabik dada mengatakan bahawa semua kejayaan mereka adalah atas usaha mereka sendiri dan bukan datang daripada mana-mana dasar atau usaha kerajaan atau parti politik yang membantu mereka.
Kata mereka: "I am here as a CEO because I deserve it and I am good and I am here is not because of DEB or any effort from the government." Inilah golongan orang Melayu yang sudah lupa.
Ini bukan hanya berlaku dalam kalangan orang muda profesional tetapi ia menular kepada pemimpin-pemimpin Melayu. Tidak kisahlah dari parti mana dia datang tetapi semuanya bongkak dan sombong apabila kuasa politik dikuasai mereka.
Ada yang sanggup mengangkat pengkhianat negara sebagai pejuang kemerdekaan; ada yang sanggup menggadai agama demi mahu memperolehi kuasa. Ada yang sanggup mengaut segala projek yang ada demi kemewahan diri sendiri.
Bagi sesetengah daripada mereka, melaungkan perpaduan Melayu adalah satu slogan bodoh atau usaha parti-parti yang desperado. Mereka sudah tidak melihat lagi bahawa the survival of the Malays di Tanah Melayu ini sebagai elemen penting. Mereka mahukan kuasa dan kuasa menjadi matlamat utama mereka.
Dalam al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 7, Allah berfirman dan maksudnya: "Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka tertutup, dan mereka akan mendapat azab yang berat."
Dalam ayat ini, asbabunnuzulnya menerangkan bahawa ia ditujukan kepada orang Yahudi di Madinah ketika itu, tetapi jika kita perhatikan ayat ini, ia sedang berlaku dalam kalangan bangsa Melayu.
Sifat Yahudi Madinah itu ada dalam kalangan kita. Apa yang mencemaskan apabila Allah telah menutup segala pancaindera serta hati, maka akan ada azab yang berat diturunkan oleh Allah kepada kita kelak. Apakah azab yang bakal kita hadapi?
Adakah penjajahan semula terhadap orang Melayu? Adakah orang Melayu akan menjadi bangsa kelas kedua di bumi sendiri; menjadi kaum terhina yang mudah disepak terajang oleh orang yang membenci bangsa Melayu?
Apakah ada pula azab 'misteri' yang bakal dihadapi oleh bangsa Melayu akibat daripada kelalaian, ketamakan, kerakusan dan kepentingan diri sendiri?
Benar kata-kata Dr. Mahathir bahawa semua ini berlaku adalah kerana bangsa Melayu itu sendiri sudah tidak bangga menjadi bangsa Melayu; sudah tidak lagi mahu tahu atau ambil peduli ke atas sejarah bangsa sendiri. Sudah menjadi sebuah bangsa yang 'tidak kisah' dan sekarang memperjuangkan hak asasi manusia (HAM).
Tidak salah untuk kita mengetengahkan hak dan menuntut hak kita sebagai warganegara Malaysia. Tetapi setiap hak ada peruntukan undang-undang dan setiap hak yang ada bukan bersifat mutlak. Setiap hak yang ada mesti berlandaskan kepada perundangan tertinggi negara iaitu Perlembagaan kerana dari situ bermulanya negara bangsa.
Ada orang Melayu sendiri mempersoalkan Perlembagaan negara. Orang ini adalah bangsa Melayu yang sudah tersedia pinggan mangkuk emas di atas meja; sudah terhidang makanan yang lazat-lazat untuk mereka makan.
Tetapi mereka lupa bahawa makanan yang dihidangkan itu bukan datang bergolek begitu saja. Ia datang daripada jerih- perih pejuang-pejuang kemerdekaan yang lampau.
Keamanan dan kemakmuran yang dikecapi kini bukan atas belas ihsan penjajah tetapi ia datang daripada usaha dan kebijakan orang Melayu sehingga negara ditadbir mengikut acuan yang berasas nilai-nilai agama dan adat budaya warisan bangsa negara ini.
Bila kita jumpa orang profesional Melayu atau pun orang muda Melayu, cuba kita tanya siapakah Megat Iskandar Shah? Sudah pasti hampir 90 peratus tidak tahu menjawabnya? Jika ditanya apakah yang mahu dilakukan oleh Malayan Union ke atas Tanah Melayu? Sudah tentu juga lebih 90 peratus tidak boleh menjawabnya. Kerana apa? Kerana hati mereka, penglihatan mereka dan pendengaran mereka telah tertutup dan dikunci mati.
Apakah akibatnya. Akibatnya nanti bangsa Melayu yang hebat seantero dunia ini akan menjadi bangsa yang akan dipijak oleh kaum lain dan akan dimanipulasikan oleh mereka demi kuasa dan pangkat dalam semua sektor dan bidang.
Kita hendaklah tahu bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang hebat. Kalau tidak mana mungkin bangsa Melayu di bawah Kesultanan Melayu Melaka mempunyai empayar yang cukup luar biasa.
Mana mungkin orang dari Portugal dan Belanda mahu datang ke Melaka jika tidak mendapat khabar berita bahawa terdapat bangsa Melayu yang hebat. Mana mungkin kerajaan China menghantar kumpulan eksplorasi dan panglimanya ke Tanah Melayu untuk bersahabat dengan Kesultanan Melayu Melaka. Ini adalah kehebatan Melayu.
Tetapi dalam kehebatan ini, ada juak-juak yang dengki sebab tidak dapat apa-apa daripada yang memerintah. Ada yang sudah ada jawatan dalam pemerintahan mahu lebih banyak kuasa sehingga ada yang sanggup menjual maruah dan negara demi kepentingan diri yang dia sendiri belum tahu mampu bertahan lama. Akhirnya bangsa yang gah di mata dunia, dijajah dan dipijak-pijak.
Untuk peringatan kita bersama, marilah kita menghayati dan memahami setiap bait ayat yang dinukilkan oleh Dr. Mahathir tentang 'suara hatinya'. Benar bukan simpati yang diminta oleh Dr. Mahathir tetapi beliau mahu kita mengimbau kembali kepayahan dan kesusahan lampau dijadikan pedoman untuk terus maju ke hadapan.
Untuk bangsa Melayu Muda, selamilah kata-kata Dr. Mahathir supaya ia menjadi azimat untuk menentukan untung nasib bangsa Melayu di bumi Tanah Melayu ini.
Untuk pemimpin Melayu, cukup-cukuplah perbalahan sesama sendiri, marilah kita kembali bertaut untuk Islam, Melayu dan Tanah Air tercinta ini. Buang yang keruh ambil yang jernih, baru teguh peribadi.
Untuk bangsa Melayu yang tidak ambil peduli, marilah kita bersama membina sebuah bangsa yang disegani dan dihormati. Jaga akidah kita sebagai umat Islam, dan jaga bangsa kita sebagai bangsa yang terhebat di Tanah Melayu ini.
Bak kata bait lagu lama: "Nenek moyang kaya raya, Tergadai seluruh harta benda, Akibat sengketa sesama kita, Cita lenyap di arus masa."
No comments:
Post a Comment