Alhamdulillah aku kembali beronline setelah mengharungi suasana raya yang penuh berwarna warni. Selama aku tidak beronline, rasa rindu pada alam maya usah dikira. Aku kembali ke Kuala lumpur pada 25 Ogos 2012 iaitu semalam setelah menghabiskan cuti panjang bersama keluarga di Hulu Terengganu. Apa yang aku ingin tuliskan pada kali ini adalah sekadar catatan Aidilfitri aku dan keluarga. Catatan ini mengandungi 3 fasa, iaitu Perjalanan Pulang, Aidilfitri dan Perjalanan Kembali.
Perjalanan Pulang
Aku bertolak pulang ke kampung halaman selepas tengah malam Jumaat 16 Ogos 2012. Kenderaan cukup banyak, tetapi perjalanan lancar. Jalanraya cuma sibuk ataupun bergerak perlahan sehingga sampai ke Tol Bentong. Apabila kenderaan Kelantan mula memasuki simpang Kuala Lipis, perjalanan terus lancar tanpa gangguan lagi.
Aku berhenti rehat sekejap di Hentian Rehat Sebelah Lancang bagi membuang air kecil dan membasuh muka. Di Hentian lancang tu, tandasnya tak banyak, maka kami terpaksa beratur untuk mengambil giliran. Setelah selesai membasuh muka, aku pun menyalakan sepotong rokok bagi memberi kesegaran kepada memberi ransangan kepada minda aku untuk mengharungi kegelapan malam. Kebiasaannya para pemandu akan minum minuman penambah tenaga seperti Red Bull ataupun 100 Plus, tetapi bagi aku cukuplah sepotong rokok dan air sejuk sahaja. Kalau dulu, aku pun rajin minum minuman bertenaga seperti Red Bull atau Livita atau Tongkat Ali, tetapi apabila mengenangkan bertapa seronoknya mereka taruk gula ke dalam minuman berkenaan, maka aku tak mahu bersekongkol dengan mereka. Air sejuk pun dah memadai bagi aku.
Setelah menghembuskan asap terakhir dan membeli sedikit makanan ringan, aku pun meneruskan perjalanan. Target aku ialah hendak bersahur di Hentian Rehat Gambang. Anak-anak dah lama lelap. Anak lelaki aku yang bercakap besar hendak menemankan aku berbual sepanjang perjalanan paling awal lelap. Isteri aku tidur-tidur ayam sahaja. Aku pun ada juga rasa-rasa hanyut sekali sekala, tetapi masih mampu meneruskan perjalanan. Maklum sahajalah jam 1.00 pagi adalah waktu yang paling afdal bagi aku untuk bermimpi. Dengan ditemani muzik okestra Phil Collin yang aku baru beli, aku meneruskan juga pemanduan dengan penuh hati-hati. Kelajuan purata pun sekitar 120 km perjam. Kadang-kadang aku memecut sehingga 140 - 150 km perjam bagi memberi irama kepada pemanduan aku. pemanduan tidak boleh statik kerana boleh melemahkan minda menyebabkan rasa mengantuk mula menyerang. Oleh itu sekali sekala aku speed juga sehingga mencapai kelajuan maksima (140 - 150 ) km perjam.
Aku sampai di Hentian Gambang sekitar jam 3.30 pagi. Kenderaan sudah ramai. Orang pun ramai yang berhenti rehat dan menjamu selera. Aku membuat keputusan untuk tidur dan melelapkan mata sekejap. Aku pun merebahkan kusyen kereta ku dan membuka tingkap. Aku buka tingkap kerana hendak matikan enjin. Kalau aku tidur sambil enjin hidup dan aircond terpasang, itu membazir minyak namanya. Anak-anak dan isteri tak ada masalah nampaknya, maka aku pun terus tidur.
Aku terjaga semula sekitar jam 4:15 pagi apabila isteri aku bersungut panas. Aku faham bahawa dia suruh hidupkan enjin dan hidupkan aircond. Aku pun hidupkan enjin dan hodupkan aircond. Aku pun gerakan anak-anak aku untuk diajak bersahur dihentian. Sayangnya sorang pun tak ada yang mahu. Mereka cakap mahu makan apa yang ada di dalam kereta termasuk biskut raya. Mee Goreng yang digoreng oleh isteri aku sewaktu berbuka petang tadi pun dimakan mereka. Isteri aku cuma pesan supaya membelikan roti sahaja sebagai alas perut. Maka aku pun pergi makan sahur sorang diri.
Setelah menjamah nasi, dan sebatang rokok, aku pun mengajak isteri aku meneruskan perjalanan. Aku bercadang hendak kejar waktu sembahyang subuh di Masjid Padang Kubu, Dungun. Mata aku pun dah tak mengantuk lagi kerana dah bagi ubat sebentar tadi iaitu tidur. Dengan kelajuan yang biasa aku meneruskan perjalanan. Melalui jalan Jerangau - Jabor, aku kena berhati-hati sedikit kerana jalan tersebut adalah jalan dua hala. Lagipun ada setengah-tengah tempat, binatang ternakan boleh tiba-tiba melintas.
Aku sampai di Masjid Padang Kubu pada jam 6:30 pagi. Aku mengimamkan sembahyang subuh kepada anakku dan beberapa orang perantau. Setelah selesai sembahyang subuh, aku pun menyerahkan stereng kereta kepada isteri aku untuk meneruskan perjalanan kerana aku rasa macam tak larat je hendak meneruskan pemanduan. Maklum sahajalah dah hampir 24 jam aku tidak rehat. Kami meneruskan perjalanan pulang ke kampung yang jaraknya lebih kurang 1 jam perjalanan lagi. Kami sampai di rumah sekitar jam 8:30 pagi. Sampai di rumah, aku meneruskan aktiviti biasa iaitu menyambung tidur sehinggalah jam 11:00 pagi. Anak-anak aku dah mula menjalankan aktiviti biasa mereka iaitu bermain apa yang patut.
Selepas ini, aku akan bercerita pula suasana hariraya kami sekeluarga pada tahun ini. Kalau ada ganbar yang sesuai, aku akan cuba letakkan di sini. Catatan ini sekadar catatan untuk ditatap dimasa-masa yang akan datang sebagai kenang-kenangan.
hulu terengganu kg mana tu...itu kawasan saya lah.
ReplyDeleteAsal Kg Dusun, tapi semenjak dua menjak ni di kg buluh.
ReplyDelete