CATATAN PERIBADI

01 February 2012

Berkelah Di Sekayu

gambar air terjun sekayu
Gambar Air Terjun Sekayu Ihsan http://e-picworld.blogspot.com


Pada pagi 22 Januari 2012. Sedang aku membaca surat khabar Utusan Malaysia, aku pun teringin benar nak pergi bawa anak-anak mandi manda di Sekayu.

"Ma, esok kita gi Sekayu nok. Bawok budok-budok mandi" Aku memberikan cadangan kepada isteri aku.

Isteri aku tak memberikan respond. Anak-anak aku bila terdengar je perbualan antara aku dengan isteri terus teruja.

" Jomlah mak, lama dah kita orang tak mandi di Sekayu". Kata anak sulung aku.

Aku memang gemar dan suka nak pergi ke Sekayu kerana airnya yang sejuk, kehijauan rimhunan rimbanya mengimbau kenangan lalu.

Sekitar 80 dan awal 90 an yang lalu, Air terjun Sekayu yang terletak 15 kilometer dari Bandar Kuala Berang sering menjadi lokasi wajib para pengunjung dari dalam dan luar.  Boleh dikatakan setiap hari Jumaat, pasti ramai para pengunjung yang datang dari seluruh pelusuk negeri termasuk dari Kelantan. Waktu itu, air terjun Sekayu menjadi lokasi yang wajib dilawati oleh setiap anak muda yang inginkan kedamaian dan deruan air terjun yang bertingkat-tingkat. Glamour betul Sekayu. Tanyalah kepada sesiapa yang berumur sebaya aku, pasti mereka mempunyai kenangan tersendiri di Sekayu termasuklah kenangan  berapa kalikah mereka ponteng sembahyang Jumaat kerana seronok mandi manda di Sekayu.

Sekayu juga menjadi tempat anak muda yang nakal untuk menjalankan aktiviti-aktiviti mengendap pasangan-pasangan yang melakukan perbuatan maksiat. Sekayu juga menjadi tempat mencari jodoh. Aku yakin, ramai pasangan yang berkahwin telah jatuh cinta pandang pertama di Sekayu. Sekayu juga mencatatkan sejarah dimana pada setiap tahun ada sahaja korban mati lemas.

Pada masa itu, mana yang sentiasa memakai kopiah di kepala, apabila sampai di Sekayu, kopiah akan dimasukkan ke dalam poket.

Semenjak Terengganu di perintah oleh PAS pada tahun 1998, kemasyhuran Sekayu lenyap seketika. Kalau dahulu saban minggu ada sahaja rombongan dan juga penduduk setempat yang berkelah di Sekayu, tetapi semenjak PAS memerintah,  berapa kerat sahaja para pengunjung yang datang berkunjung. Kalau dahulu kita akan dapat banyak gerai-gerai menjual minuman ringan dan juga makanan tengahari, tetapi semenjak PAS memerintah, semua gerai-gerai itu menjadi sunyi sepi dan sekarang ini gerai-gerai tersebut telah dilenyapkan dari pandangan. Tempat letak kereta yang senitasa penuh telah pun ditumbuhi lalang.

Sekarang ini aku kurang pasti kerana aku jarang dah pergi mandi manda di Sekayu. Namun demikian, pada cuti Hari raya Cina baru-baru ini, para pengunjung kembali mengunjungi Sekayu. Berduyun-duyun kenderaan datang silih berganti dari segenap pelusuk negeri. Adakah Sekayu kembali hidup ataupun ianya sekadar fenomena sementara sahaja? Hanya Allah sahaja yang mengentahuinya.

"Bang, Suriani ajak kita pergi mandi Sekayu besok. Dia orang nak bakar ayam"  Tiba-tiba isteri aku memberi tahu aku bahawa anak dua pupu beliau mengajak mandi di Sekayu. 

"Horey, kita mandi sekayu" jerit anak-anak aku. Ingatkan mereka nak nyanyi lagu Sudirman, horei, horei, bergembira.

Ringkas cerita, pada pagi Isnin 23 Januari 2012 isteri aku pagi-pagi lagi telah pergi ke Pasar Tani bandar Kuala Berang untuk membeli bahan mentah seperti ikan, sayur dan segalanya untuk dimasak dan dibawa ke  Sekayu.

 " Ma, belikan abang seluar pendek, abang nak juga mandi". Aku minta isteri aku belikan seluar pendek kerana seluar pendek aku tinggal di KL. Rugi kalau pergi Sekayu tidak mandi. Betul aku cakap. Warga kota  macam aku ni (ceh! prasan) jarang berpeluang mandi manda di air terjun seumpama itu.

Kira-kira pukul, 9.30 pagi isteri aku pulang dari Pasar Tani. Tu dia, banyaknya bahan mentah yang beli. Ada ikan Tilapia, ada Paku Midin (paku pakis yang warna merah), ada  ikan selayang, ada mangga muda dan lain-lain lagi.

"Ma, macam nak buat kenduri je" Tegur aku pada isteri aku.

"Ramai yang hendak makannya, nanti tak cukup" Jawab isteri aku. Aku tahu bahawa keluarga Suriani ramai yang datang berkelah.

Setelah mertua aku selesai menyiang ikan Tilapia,  aku ditugaskan untuk membakarnya Tilapia kerana isteri aku dan ibunya pergi menawat (menziarahi) kematian. 4 ekor ikan tilapia dipanggang tawar. Bukan senang nak hidupkan api untuk membakar ikan. Namun aku usahakan juga degan anak-anak. Anak aku yang bongsu pun sibuk membantu mengibas bara api menggunakan surat kkabar lama. Untuk makluman di Pasar Tani Kuala Berang, ikan Tilapia merah hidup reganya RM12.00 sekilo. Sape nak tempah bagi tahu aku. Cewah.. promo pulak. 

Balik dari menawat, isteri dengan ibunya mulalah memasak di dapur untuk di bawa bekal ke Sekayu. Sayur air,  air lada, ikan selayang panggang tawar, ikan Tilapia panggang tawar. Bekalan yang disediakan seolah-olah hendak pergi ke huma juga adanya.

" Ayah, bila kita nak pergi ke Sekayu". Anak aku yang nombor 3 mula bertanya.

" Bila tayar kereta mula bergerak, waktu tulah kita pergi". Aku jawab.

Aku tak boleh bagi janji jam berapa nak bertolak kerana kalau aku berjanji, mereka mulalah mereka asyik tengok jam. Bila sampai waktunya, jika masih tak pergi, mereka akan kata aku tak tepati janji. Dah banyak kali berlaku macam ni. 

Kira-kira jam 12.00 tengahari, kami pun mula bertolak ke Sekayu. Jarak rumah aku dengan Sekayu lebih kurang 15 kilometer. Tak jauh mana pun, lebih kurang 20 minit dah sampai. Dalam perjalanan semua anak-anak dah tak sabar hendak mandi manda. 

Sampai di Sekayu, aku tengok ramai juga para pengunjung. " Sekayu dah kembali bernyawa" kata aku di dalam hati. 

Air terjun Sekayu sungguh jernih. Sejuk air Sekayu sungguh menikam sampai ke tulang. aku dah keluarga serta keluarga Suriani ambil tempat berhampiran jambatan gantung. Itu tempat paling standard bagi mereka yang membawa keluarga kerana airnya tidak terlalu dalam dan tidak terlalu deras. Bagi pasangan remaja ataupun mereka yang inginkan lebih cabaran, mereka akan pergi lebih jauh ke atas bukit. Di situ terdapat air terjun Sekayu yang sungguh indah seperti gambar di atas tu.

Aktiviti utama kami adalah mandi. Aku dan anak-anak tidak melepaskan peluang untuk mnadi manda, manakala isteri aku dan mak mertua aku tidak mandi. Mereka sibuk menyediakan hidangan. Macam-macam hidangan ada yang dibawa oleh isteri aku dan Suriani. Ada ayam gulai ( ayam masak kari), ada ikan tilapia panggang tawar cecah budu, ada ikan baung masak daun kesum, ada ayam bbq dan macam-macam lagi. Pendek kata, semuanya makanan dan lauk pauk kegemaran aku sekeluarga.

Kami menghabiskan masa lebih kurang 3 jam di Sekayu. lebih kurang jam 3.00 petang, kami pun bertolak balik. Sebelum bertolak pulang, kami singgah di Masjid Kg. Sekayu dulu untuk solat Zuhur. Masjidnya cukup selesa dan cukup cantik. Kami sampai di rumah lebih kurang jam 4.00 petang. Anak-anak keletihan mandi manda dan alhamdulillah tiada yang demam.

Di bawah ini gambar yang aku rakam. Aku bukan pandai sangat cari sudut menarik. Korang layan je lah.





http://www.visit-terengganu.net/air-terjun-sekayu/

2 comments:

  1. ''" Ma, belikan abang seluar pendek, abang nak juga mandi". Aku minta isteri aku belikan seluar pendek kerana seluar pendek aku tinggal di KL. Rugi kalau pergi Sekayu tidak mandi. - aikk...dah akil baligh pun nak mandi dgn seluar pendek!!! - agaknya masa PAS memerintah dulu, ada notis supaya menutup aurat bg yg muslim. sebab tu ramai yg tak datang mandi. apa salahnya benda baik di ikut.....

    ReplyDelete
  2. Aik!, cerita macam ni pun nak komen.

    Bukan seluar pendek betullah, seluar tiga suku. Aku tahu juga hukum aurat lelaki.Takkanlah aku bodoh sangat bab hukum aurat ni.

    ReplyDelete