Titah Yang Dipertuan Agong Tentang BERSIH 2.0 |
Written by Azrinizam Ibrahim |
Sunday, 03 July 2011 21:42 |
Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini. Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut: Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat. Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Datuk Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin. Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara. Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan. Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun. Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu ‘Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran’.Hakikatnya, demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik. Sebaliknya, kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora. Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara. Ulasan Putrarahman:- Aku yakin bahawa Agong akan mengeluarkan titah sebegini. Apabila titah telah dikeluarkan, maka tidak ada sebab lagi bagi rakyat jelata untuk tidak menghormatinya. Jika masih ada yang ingkar, mereka semua boleh dianggap sebagai menderhaka dan boleh dicharge sebagai cubaan untuk menentang Yang Dipertuan Agong iaitu pemerintah tertinggi Malaysia. Hukuman bagi mereka yang menentang Agong adalah sama seperti hukuman yang diterima oleh anggota Al Maunah beberapa tahun dahulu. Aku yakin, bukan semudah dan sewenangnya Agong hendak mengeluarkan titah sedemikian yang kelihatan seolah-olah memihak kepada sebelah pihak. Namun demikian, inilah sebahagian daripada peranan yang Agong boleh laksanakan bagi menjamin kerajaan yang dipilih secara demokrasi dipelihara dan dihormati. Yang penting, Agong tidak mahu ada pihak-pihak yang mempunyai perasaan tidak puashati ataupun dendam kesumat yang membara bertindak menghasut rakyat untuk melakukan tindakan yang boleh mengganggu gugat keharmonian negara. Jika ada pihak yang cuba untuk mempersoalkan titah ini dengan memberikan pelbagai anggapan seperti bias, berat sebelah atau sebagainya, aku pohon kepada pihak polis supaya mengambil tindakan yang paling tegas. Yang Dipertuan Agong adalah pemerintah tertinggi negara, oleh itu jika ada rakyat yang mempersoalkan titah perintah baginda yang bukan berunsur maksiat dan mengajak kepada keburukan, maka wajar rakyat tersebut dihukum dengan sekerasnya. |
No comments:
Post a Comment