CATATAN PERIBADI

05 March 2011

Bercinta bertahun, berkahwin sebulan

"Purata pasangan Islam yang bercerai di negara ini mencatatkan rekod mengejutkan iaitu satu pasangan setiap 15 minit - Sumber JAKIM.

Ini bermakna dalam sehari 4 pasangan Islam telah meleraikan ikatan perkahwinan mereka. Sebulan 120 perceraian berlaku dan dalam setahun pula seramai 1,440 orang janda dan duda telah terhasil.

Bercinta bagai nak rak, siang, malam siang ke hulu ke hilir berkepik.  Berkahwin pulak bukan main meriah lagi. Beribu-ribu duit digunakan untuk belanja perkahwinan. Kek bertingkat-tingkat. Baju pengantin bersilih ganti. Gambar beraneka gaya. Kononnya untuk menjadikan majlis perkahwinan itu sesuatu kenangan manis seumur hidup. Berbulan madu, dalam negara tak main, luar negara dijarahnya. 

Bila berlaku selisih faham, bukannya mereka mengambil pendekatan untuk menyelesaikannya, tetapi masing-masing ego dan tidak mahu mengalah. Akhirnya mereka mengambil jalan mudah dengan menamatkan ikatan perkahwinan mereka. Segala kenangan manis semasa perkahwinan dulu sudah menjadi kenangan pahit.

 Inilah trend dan budaya anak muda Islam zaman sekarang ini. Ada yang tertipu, ada yang menipu kerana nak kahwin yang "grand-grand". Buat loan sana-buat pinjaman sini kerana hendak memenuhi tuntutan belanja perkahwinan yang bukannya perkara wajib pun. Sunat pun tak adanye. Kadang-kadang boleh dosa.

"Ada kawan tanya, kenapa nak marah sangat ni, biarlah dia orang nak kahwin bagai nak rak, apa mun peduli". Aku tahulah ketika aku kahwin dulu, RM4,000 sudah cukup. Duit Mas Kahwin RM2,000 dan duit kenduri kendara RM2,000.00. Kad jemputan pun aku tak buat. Esok kahwin, hari ni baru aku jemput kawan-kawan. Ada yang aku jemput pada pagi nak kahwin, macam jemput kenduri doa selamat pulak. Alhamdulillah, tak ada yang tak datang, kecuali bekasa awek yang mungkinj kecewa kerana tak kahwin dengan dia. Bukan aku kahwin terpaksa, tetapi aku taknak kahwin terseksa dan pening kepala. Alhamdulillah selesai juga. Para jemputan tak ada yang merungut. Lauk pauk 'ngam-ngam' lata orang Tawau , tak ada yang tak cukup dan tak yang membazir. Kerbau seekor , cukup untuk seluruh kampung dan kawan-kawan terdekat. Sehingga kini, dah 13 tahun dah aku kahwin. Adat rumah tangga, adat masa okey, ada masa duke. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri kata P.Ramlee. Namun tak pernah aku pukul isteri, kena pukulan isteri ada le. Biasele orang pompuan, bukan sakit pun jika memukul dan bukan pukul pasal bergaduh, tetapi memukul kerana geram.

Sekarang ini, kesian bila mengenangkan perkahwinan anak muda sekarang ini. Adakalanya , kelihatan berlebih-lebih pulak. Lagi sebulan nak kahwin, kad-kad telah diedarkan. Kad pula, bukan main canggih manggih lagi. Siap ada gambar dan ada yang berbau wangi. Belanja untuk membuat kad itu pasti beratus-ratus. Kalau dulu, kawan aku cuma photostat kertas A4 warna kuning. Aku yang menjadi juru tulis menulis nama para jemputan. Alhamdulillah, para jemputan datang berduyun-duyun. Bukan main meriah lagi. 

Dalam soal makan minum. Kalau dulu, kahwin di kampung-kampung mereka mementingkan tetamu, cukup ke makannya, selesa ke. Maklumlah ada sanak saudara dan rakan taulan datang dari jauh. Sekarang ni semuanya pakej. Makanan yang disediakan oleh pakej ikut kepala dan ada masa pulak tu, kalau ada tetamu yang lambat datang, alamatnya makan nasi dengan kuah sahaja, itupun nasib baik masih bersisa. Kalau tidak, makan dikedailah jawabnya. Ini kenduri orang bandar, orang kampung seperti kampung aku dan kampung jiran-jiran, alhamdulillah dalam soal kenduri kendara ni masih lagi mengekalkan tradisi gotong royong. Kaedah dan cara kenduri kendara sahaja yang berbeza.Yang lain-lain serupa sahaja di antara perkahwinan bandar dengan perkahwinan desa.

Sekarang ini, banyak keperluan tambahan perlu dilakukan bagi memeriahkan sesebuah majlis perkahwinan dan untuk menjadikan majlis lebih meriah lagi dan lebih bermakna. Pengunaan pakej juga telah menjadi trend baru. Banyak keperluan perlu difikirkan oleh bakal pengantin. Mana duit upah mak andam, mana duit upah juru mekap, mana duit upah juru gambar, mana duit baju pengantin, mana duit pelamin. Semua ini telah menambahkan beban bakal pengantin. Itu pasal bajet makanan untuk tetamu dikurangkan. Kalau dulu, adalah bunga telur ataupun telur dan nasi semangat dibawa pulang oleh waris terdekat atau sahabat handai yang rapat. Kini, kotak je yang besar tetapi isinya cuma gula-gula dan sumi dua tiga biji. Tak nak ambil, nanti isteri tanya betul ke pergi kenduri kahwin. Akhirnya ambil jugalah. Berkat majlis, maka berkatlah rumahtangga pasangan. Kalau tetamu puas hati, maka Insyaallah berkatlah majlis tu.

Bila dah kahwin, suami pening kepala kerana hutang bertapuk sana sini. Suami berhutang kerana nak penuhi hajat pasangan untuk majlis kahwin yang hebat kononya. Itu belum lagi hantaran hangus yang mencecah beribu-ribu. Memang betullah  kalau nak kahwin kena ada duit, tetapi bakal metua tak tahu bahawa bakal menantu berhutang dari bank untuk adakan duit. Bila dah banyak hutang, sudah tentu makan minum dan nafkah isteri pun kurang dan ala kadar. Isteri pula yang bekerja jenis yang ego dan tidak mahu menolong suami. Suami tak kisah kalau tak tolong dari segi kewangan, tetapi dalam soal asas dan perkara-perkara wajib, seperti membasuh pakaian, mengosok pakaian, makan minum pun isteri tidak mahu laksanakan. Suami mana yang boleh tahan. 

Tahulah bahawa,  si isteri pun penat juga. Jadi bila suami mengharapkan layanan dari isteri, tetapi disebabkan kepenatan, isteri tidak dapat layan, itu yang menyebabkan ego suami tercabar. Makin lama, makin parah. Isteri pula jenis yang tak mahu mengalah. Perempuan zaman sekaranglah katakan yang merasakan bahawa mereka berhak untuk dilayan sama rata tanpa ada diskriminasi gender. Kalau dulu, isteri taat kepada suami, walau penat macamana sekalipun, layanan terhadap suami tetap diutamakan. Namun kini  payah nak dapat yang macam ini. Isteri sekarang ini ramai yang berkata,  kita sama-sama kerja dan sama-sama penat, maka masing-masing tak perlu ada sesiapa arah sesiapa. Nak minum, air ambil sendiri. Basuh baju sendiri, Gosok Baju sendiri. Makanan beli di kedai, suami yang keluar belanja. Duit isteri pergi kemana? Bermacam-macam makanan tambahan sekarang ni. Dr. Rozermy, Dr. Jism, Herba Herbs, HPA, Cosway dan macam-macam lagi. Kalau gemuk, mereka sibuk nak langsing, kalau yang kurus, mereka sibuk berisi. Namun tak ramai yang makan ubat supaya menjadi lebih rajin, ubat supaya menjadi lebih solehah dan juga  penambah selera seks. Mana yang mampu, pergilah kursus bagaimana untuk melayan suami di ranjang. Namun tak ada kursus yang sebegini diselaraskan. Kalau ada elok juga suami hantar isteri mereka, namun kena pastikan yang beri kursus itu adalah kaum hawa sahaja. Kalau kaum lelaki, nany. 

Bila keperluan batin suami tertunai dan dipenuhi dengan kerap mengikut selera suami, barulah rumah tangga aman. Nabi S.A.W. pun bersabda menyatakan, isteri itu umpama ladang. Isteri pula kena penuhi tuntutan batin suami walaupun di atas belakang unta. Ada hikmahnya. Bukankah kebanyakkan perselisihan yang kecil-kecil itu dapat diselsaikan di atas katil je. Tak payah nak berlarutan. Tetapi pasangan sekarang ni tak tahu atau buat tak endah akan kepentingan 'bekerjasama' di atas katil itu banyak menyelesaikan masalah yang kecil-kecil. Kadang-kadang, pasangan yang bercerai ni disebabkan mereka membiarkan masalah yang kecil-kecil itu berlarutan tanpa ada penyelesaian.

Artikel lebih kurang di atas sebagai respond kepada berita yang ditulis di dalam Utusan Malaysia seperti di bawah.

Rekod Jakim: Setiap 15 minit satu pasangan bercerai

PUTRAJAYA 3 Mac – Purata pasangan Islam yang bercerai di negara ini mencatatkan rekod mengejutkan iaitu satu pasangan setiap 15 minit.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, angka itu diperoleh berdasarkan rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2009.

Menurut beliau, statistik perceraian itu terus menunjukkan peningkatan saban tahun dan ia mencetuskan kebimbangan mengenai keharmonian rumah tangga terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Beliau berkata, kebanyakan kes perceraian berlaku disebabkan pasangan suami isteri tidak begitu menghayati kehendak ajaran agama dalam melayari kehidupan rumah tangga termasuk menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin.

‘‘Masalah ini mungkin disebabkan peredaran masa yang memaksa mana-mana pasangan mengambil jalan mudah menamatkan ikatan perkahwinan mereka.

‘‘Oleh itu, Jakim akan meningkatkan usaha menyedarkan masyarakat mengenai kebaikan memelihara kerukunan rumah tangga dan mengelakkan penceraian,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan seminar sempena sambutan Maulidur Rasul yang bertajuk Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha.

Seminar tersebut dihadiri 1,500 kakitangan kerajaan dengan menampilkan dua ahli panel terkemuka iaitu pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Datuk Dr. Fatma Zahrah Mohd. Ramadan.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, Jakim melaksanakan pelbagai program untuk memantapkan institusi kekeluargaan selain membina keluarga bahagia.

Katanya, program tersebut bertujuan menimbulkan kesedaran kepada setiap pasangan yang berkahwin selain menerangkan peranan sebenar sebagai suami, isteri, ibu dan bapa.

Beliau menasihatkan pasangan yang bakal berkahwin supaya bersedia menghadapi tekanan seperti proses penyesuaian tingkah laku dan tabiat suami isteri.

Dalam pada itu, katanya, mereka juga harus bersedia menanggung beban tugas dengan penambahan anak, beban membayar hutang, membeli kenderaan dan menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Sementara itu, katanya, perceraian memberi kesan buruk kepada anak-anak hingga banyak gejala sosial berpunca daripada keluarga yang kucar-kacir.

Rujukan lain
Facebook punca cerai
Jangan bercinta lama-lama

No comments:

Post a Comment