CATATAN PERIBADI

24 November 2010

Hari Raya Qurban

Hari raya qurban pada tahun ini cukup bermakna kepada aku kerana pada hari raya qurban tahun ini tertunailah sudah kewajipan aku terhadap anak-anak aku iaitu menunaikan aqiqah mereka. Budaya kampung aku melaksanakan aqiqah bila berkemampuan dan bukanya dilakukan selepas 7 hari kelahiran anak. Pada zaman dahulu, kesempitan hidup penduduk kampung menyebabkan ramai ibubapa yang tertangguh untuk menunaikan kewajipan aqiqah anak-anak mereka sehinggalah mereka telah meninggal dunia. Di samping itu juga ramai yang beranggapan bahawa aqiqah ini hanyalah sunat yang dituntut dan tidak berdosa jika tidak dilaksanakan. Namun demikian, akhir-akhir ini sudah ramai dikalangan ibu bapa yang telah menunaikan tanggungjawab mereka tanpa menunggu anak dewasa untuk melaksanakan aqiqah.

Pada masa aku kecik-kecik dahulu, sambutan hari raya qurban sama meriahnya dengan sambutan hari raya puasa. Kanak-kanak akan dipakaikan dengan baju-baju baru dan para ibu bapa akan membawa anak-anak mereka menzirahi ahli keluarga yang lain.
aku masih ingat lagi, setiap kali hari raya samada puasa ataupun qurban, ayah aku akan membawa kami sekeluarga menziarahi kaum keluarganya yang tinggal di kampung Jenagor. Kadang-kadang kami akan menaiki perahu untuk mudik sungai Terengganu. Bertapa sukarnya ketika itu jika dibandingkan dengan keadaan sekarang ini. walaupun sukar, tanggungjawab untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim tetap diamalkan oleh ayah aku. Kini menjadi tanggungjawab aku pula untuk membawa ahli keluarga aku menziarahi kaum keluarga aku yang tinggal jauh supaya anak-anak aku kenal mengenali dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Hasil asuhan ayah aku dahulu, alhamdulillah aku dapat berjumpa dengan semua bapa dan mak saudara aku setiap kali hari raya menjelma.

Apabila telah meningkat dewasa, keseronokan menyambut hari raya qurban telah tiada. Bagi yang berkemampuan, mereka akan menunaikan tanggungjawab kurban. Ini bermakna selepas sembahyang raya, mereka akan tukar pakaian dan mengasah pisau untuk ke tempat kurban. Kadang-kadang tak sempat nak bersalam-salaman dengan ahli keluarga, mereka dah lesap ke tempat kurban. Hari raya kedua pula telah bekerja semula. Jadi kesimpulannya, hari raya kurban adalah hari raya yang tidak boleh dikategorikan sebagai hari raya lagi dari segi falsafah hari raya itu iaitu hari untuk bergembira. Ianya hanyalah satu cuti umum semata-mata. Keghairahan untuk menyambutnya sudah hilang. Ada yang menyambut hari raya kurban untuk tidur dari pagi hinggalah petang sempena cuti umum. Apa-apa pun hari raya kurban adalah hari raya kebesaran di dalam Islam. Oleh itu ianya hendaklah dimanafaat dengan sebaik mungkin dari generasi ke generasi supaya kemeriahan sambutan hari raya di dalam Islam hendaklah diteruskan. Kalau tidak tak ada makna hari Raya itu iaitu hari untuk bergumbira.

No comments:

Post a Comment