CATATAN PERIBADI

07 November 2008

bAHASA mELAYU bAHASA kU II

  • Saya menyokong penuh kenyataan Senator Dr Mohd Fuad Zarkashi dalam perhimpunan Agong UMNO semalam, agar bahasa Melayu dapat didaulatkan dalam segala aspek cara hidup di Negara kita, apatah lagi mengenai pengajaran bahasa Melayu dalam semua aspek akademik di sekolah. Beliau mengambil contoh bagaimana pelajar-pelajar Melayu menjadi mangsa apabila matapelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris.
  • Sebenarnya kajian demi kajian telah dibuat oleh pakar-pakar akademik di universiti-universiti tempatan sebelum ini, akan padahnya pengajaran bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan matematik. Namun, kajian ikhlas bernas mereka tidak diendahkan, kita ‘tongsampahkan’ kajian mereka. Kita banyak bersangka buruk terhadap mereka. Malah kajian mereka dikecam. Mereka dituduh sebagai golongan anti pembangunan, chauvanism atau amat tebal perkauman Melayu. Bagi saya, ini bukan soal anti pembangunan atau tebal semangat perkauman Melayu. Ini adalah soal maruah dan masa depan bahasa Melayu dalam sebuah Negara berakarkan bangsa Melayu (Tanah Melayu).
  • Terus terang, saya adalah orang bukan Melayu, berbangsa Cina. Namun saya amat prihatin soal pembinaan bangsa Malaysia berakarumbikan bahasa Melayu. Inilah satu-satu caranya untuk mendaulatkan bahasa Melayu dan bangsa Melayu agar tidak pupus ditelan zaman. Adalah suatu yang amat malang apabila sesuatu bangsa atau bahasa pupus di tanahair sendiri.
  • Mengikut sejarah Negara bangsa dunia,,semua Negara ditegakkan berasaskan kepada bangsa dan bahasa yang dijadikan oleh Allah SWTCuba bayangkan cantiknya kejadian Allah SWT. Apabila dijadikan atau dikumpulkan orang Cina, maka terbentuklah sebuah Negara yang bernama China. Bangsa India membentuk negara India. Bangsa Arab membentuk negara-negara Arab. Bangsa Melayu membentuk negara Melayu. Begitu juga dengan bangsa-bangsa lain. Pendek kata, sesebuah bangsa itu akan membentuk berasaskan nama bangsa dan bahasa mereka tersendiri. Usaha-usaha diambil oleh negara bangsa ini akan memperkasakan bahasa dan agama mereka dengan sebaik mungkin tanpa diganggugugat oleh anasir-anasir dan pengaruh luar.
  • Cuba kita kaji, berapa ramaikah orang bukan Melayu hatta menteri kabinet sendiri yang fasih atau boleh berbahasa Melayu dengan baik. Apabila ditanya atau diinterview oleh wartawan, bahasa Melayunya amat meloyakan. Apakah ini pembinaan bangsa Malaysia yang ingin kita jana? Kajian hendaklah dibuat secara serius mengenai penguasaan bahasa Melayu di kampung-kampung baru Cina atau di sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Berapa peratuskah yang boleh berbahasa Melayu dengan baik. Mengikut pengalaman saya, ada segelintir yang tidak boleh langsung bertutur dalam bahasa Melayu. Untuk fasih jauh sekali. Kajian juga mesti dibuat terhadap keputusan UPSR pelajar-pelajar jenis kebangsaan. Rata-rata pelajar-pelajarnya tidak dapat menguasai bahasa Melayu. Untuk makluman, UPSR di sekolah jenis kebangsaan mempunyai 7 matapelajaran, tambah 2 matapelajara bahasa Cina. Sebenarnya tidak ramai yang mendapat 7A. Rata-ratanya 5A. Kerana mereka tidak dapat A dalam 2 matapelajaran bahasa Melayu. Majoritinya gagal dan mendapatkan skor yang amat rendah dalam bahasa Melayu. Bayangkan, berapa ramai yang boleh menguasai bahasa kebangsaan ini dengan baik?. Berapa banyak kelas peralihan yang terpaksa disediakan untuk membantu mereka ini memahami bahasa Melayu. Itupun tidak banyak membantu kerana bila mereka tidak dapat memahami bahasa Melayu, segala apa yang diajar dalam Melayu di sekolah menengah tidak dapat difahami. Ini mengakibatkan pelajar bukan Melayu ketinggalan dan tercicir..
  • Pengalaman Negara jiran kita, Thailand sudah cukup memberikan pengajaran kepada kita. Thailand, adalah antara Negara yang paling cepat membangun dengan kekuatan semangat ‘kesiamannya’. Thailand telah menghapuskan sama sekali sekolah berasaskan kaum sejak 1930an, dan yang ada hanya sekolah satu aliran sahaja. Tujuannya tidak lain untuk memperkasakan bangsa dan bahasa Siam itu sendiri. Hasilnya, Thailand amat berjaya melahirkan sebuah negara Siam yang beridentiti dan bermaruah. Walaupun, ada berlaku kudeta, tetapi ia tidak menghalang negara ini untuk terus meningkat maju. Rakyatnya begitu unik sekali, menjunjung bahasa Siam dan agama Budhha. Ini senjata perpaduan nasional yang paling berkesan. Kerajaan Thailand berjaya ’mensiamkan’ rakyatnya yang terdiri dari berbilang kaum, tidak kira Cina atau Melayu. Semua orang melayu dan Cina fasih berbahasa Siam. Selain dari sistem pendidikan mereka berteraskan bahasa Siam, semua urusan seharian mesti berakarumbikan bahasa Siam. Semua iklan, produk (barangan), drama dan filem dari luar akan dialihbahasakan ke dalam bahasa Siam termasuk cerita-cerita Bollywood dan barat.
  • Tetapi, apa jadi dengan Negara kita?. Adakah bahasa Melayu didaulatkan? Kita menerima semua filem daripada luar, tanpa dialih bahasakan ke dalam bahasa Melayu. Lebih menyedihkan lagi, stesen-stesen TV dan radio kita kadangkala beroperasi seolah-olah kita tidak berada di Malaysia tetapi berada di Hong Kong, di Amerika atau negara lain.Lebih menyedihkan lagi, kita membenarkan sekolah berasaskan kaum ini beroperasi dengan penuh semangat perkauman sebelum dan selepas merdeka tanpa dipantau dengan bersungguh-sungguh. Sekarang ini merebak kepada universiti perkauman (Universiti Tunku Abdul Rahman - MCA dan Universiti Terbuka Wawasan –Gerakan). Dasar ini amat merbahaya dan ancaman kepada perpaduan nasional. Kenapa kita tidak bangunkan Malaysia dengan semangat ’kemalaysiaan’ berakarumbikan bahasa Melayu. Kalaulah sekolah dan universiti perkauman sudah menjadi dasar kerajaan, maka pemantauan hendaklah dilaksanakan tanpa kompromi. Bahasa Melayu mesti didaulatkan dan diperkasakan ditempat-tempat sebegini.Mengikut kefahaman saya, yang menganut berbagai agama sebelum memeluk agama Islam, tidak ada satupun agama didunia ini yang menolak untuk mempelajaran bahasa asing. Apatah lagi agama Islam.
  • Tuntutan Islam mengenai perlunya mempelajari bahasa lain amat jelas. Nabi Muhammad SAW amat menuntut umatnya menuntut mempelajari bahasa lain sebagai mesej dakwah hatta sampai ke negeri China sekalipun. Tetapi janganlah sampai keghairahan mempelajari bahasa lain sehingga bahasa sendiri di kesampingkan. Kita mesti ingat, bahasa ini adalah anugerah Allah SWT. Setiap bangsa yang dijadikan oleh Allah SWT mempunyai kekuatannya tersendiri. Kita tidak boleh memperlekehkan bahasa atau agama sendiri. Kerana ia anugerah Allah. Apatah lagi jika ada yang sanggup mengatakan ‘saya kelihatan bodoh (stupid) jika bercakap dalam bahasa Melayu’.
  • Kita mesti ingat bahawa, Malaysia dari segi sejarahnya adalah sebuah negara Melayu. Malaysia berasal dari akar kata Tanah Melayu. Ini kerana kejadian asalnya. Allah kumpulkan orang Melayu di kepulauan Melayu, maka terbentuklah sebuah negara bangsa bernama Tanah Melayu. Malangnya, semua dasar negara kita tidak berasaskan Melayu malah berbau perkauman yang ketara, sekolah perkauman, universiti perkauman, parti perkauman, surat khabar perkauman, stesen radio dan tv perkauman, NGO perkauman dan berbagai contoh lagi. Saya tidak kisah sama ada kementerian yang menjaga bahasa Melayu ini diletakkan di bawah menteri Melayu atau bukan Melayu, apa yang penting ktia mesti mempunyai DASAR yang mesti dipatuhi oleh semua kaum dan pihak. Tidak ada gunanya kita letakkan Menteri Melayu menjaga bahasa Melayu, jika orang ini tidak ada roh untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
    posted by RIDHUAN TEE @ 7
Ulasan:Tulisan ini saya perolehi daripada Blog Dr Redhuan yang ditulis sekitar bulan November 2006. saya secara peribadinya sangat-sangat bersetuju dengan tulisan Dr Redhuan. Walaupun beliau seorang berbangsa Cina, tetapi semangatnya serta kesungguhannya untuk melihat Bangsa melayu terus berjaya dan bahasa Melayu terus dipertahankan di malaysia ini kadang-kadang melebihi semangat dan kesungguhan sesetengah pemimpin Melayu sendiri. Saya kadang-kadang naik risau apabila setiap kali melihat pemimpin Melayu danm Korporat yang bercakap dalam Bahasa Inggeris apabila ditemuramah dalam TV. Buka sesekali, bahkan setiap malam keadaaan ini berlaku.
Sekarang ini saya dapati telah wujud satu budaya dimana apabila seseorang itu akan berasa bangga apabila dapat melontarkan pendapat atau bercakap dalam bahasa Inggeris berbanding bercakap dalam bahasa Melayu. Yang lebih malang adakalanya seorang Melayu itu terpaksa meminta izin untuk bercakap bahasa Melayu di Negara ini. Budaya ini jika tidak dibendung, lama kelamaan akan menyebabkan bahasa Melayu akan pupus. Apabila pupusnya bahasa Melayu, maka pupuslah Bangsa melayu itu sendiri kerana sesuatu bangsa itu dikenali dari bahasanya. Lama kelamaan bahasa melayu hanya boleh didengari ketika lagu Negaraku dinyanyikan sepertimana berlaku di sebuah negara jiran dimana lagu kebangsaannya adalah dalam bahasa Melayu tetapi bahasa Melayu tidak digunakan lagi di negara tersebut, maka saya percaya ramai dikalangan penduduk generasi barunya tidak pandai menyanyikan lagi kebangsaan mereka.

No comments:

Post a Comment