CATATAN PERIBADI

22 October 2008

pOLITIK wANG

“Politik wang” adalah satu istilah yang telah diserap masuk ke dalam senario politik Malaysia. Penggunaan istilah politik wang ini wujud pada awal 90 an dulu. Politik wang ini boleh diibaratkan sejenis virus yang amat ditakuti oleh ahli-ahli politik tulen kerana apabila ianya menyerang sesebuah parti politik, terlalu sukar untuk diubati dan dipulihkan. Akibat yang paling besar ialah parti tersebut akan hancur dan menjadi sejarah.

Apakah yang dikatakan Politik Wang. Agak sukar untuk mendefinasikan Politik Wang sama seperti kesukaran untuk mengklasifikasikan bentuk pemberian dan penerimaan hadiah oleh ketua-ketua sesebuah organisasi adakah ianya berbentuk rasuah atau tidak. Namun demikian, politik wang boleh juga didefinasikan sebagai pemberian terus wang tunai kepada para perwakilan dengan balasan perwakilan tersebut akan mengundi calon tertentu. Politik wang, tidak hanya melibatkan pemberian secara langsung, tetapi ianya hendaklah ditakrifkan dalam skop yang lebih luas. Pemberian atau pengagihan yang dinisbahkan kepada wang tunai yang dilakukan oleh calon-calon bertanding diluar peraturan yang dibenarkan boleh ditakrifkan sebagai politik wang. Contohnya pemberian sesuatu projek kepada puak tertentu dengan harapan puak itu akan menyokong dirinya sebagai balasan, atau menaja program lawatan atau menaja aktiviti-aktiviti yang boleh dikaitkan dengan proses pemilihan pemimpin boleh juga dikatakan sebagai politik wang. Penggunaan kuasa untuk mempengaruhi para perwakilan supaya mengundi calon-calon tertentu hendaklah juga ditakrifkan sebagai politik wang. Oleh kerana amat sukar untuk memberikan suatu takrif yang jelas kepada apolitik wang ini, maka ada ketikanya calon-calon yang bertanding menjadi keliru.

Calon yang bertanding memerlukan kempen untuk memperkenalkan pendirian, visi dan misi mereka. Tetapi kempen ini hendaklah disesuaikan kepada jawatan apa yang mereka hendak tandingi. Contohnya jika hendak bertanding jawatan tertinggi parti, skop kempen mereka hendaklah berbeza berbanding jawatan-jawatan lain. Apalah ertinya pertandingan itu jika sekiranya calon-calon yang bertanding tidak dibenarkan untuk berkempen bagi menjelaskan visi dan misi mereka kepada para perwakilan. Larangan berkempen ini hanya menguntungkan calon-calon yang sudah mempunyai jawatan dan dikenali ramai. Namun demikian adakah mereka ini merupakan calon-calon yang betul layak untuk menjadi seorang pemimpin yang baik. Kempen berkait rapat dengan penggunaan wang. Oleh itu, adakah penggunaan wang untuk berkempen ini dinamakan juga sebagai politik wang?

Politik wang memberikan kesan buruk kepada parti dan Negara amnya. Parti akan rosak bilamana para pemimpin yang jujur dan berkemampuan untuk mentadbir dinafikan hak mereka oleh oleh mereka yang mempunyai sumber Kewangan untuk membeli undi dan sokongan. Apabila pemimpin-pemimpin yang berkuasa terdiri dari mereka yang tidak mempunyai kemampuan untuk memimpin tetapi hanya bergantung kepada sumber kekayaan, maka perpaduan dan kekukuhan parti akan hancur dan binasa. Apabila parti mengalami kehancuran, maka sokongan rakyat akan berkurangan. Sokongan rakyat amat penting dalam sebuah Negara demokrasi. Jika rakyat tidak memberikan sokongan, maka parti tidak akan mendapat kemenangan dalam pilihanraya umum. Akhir parti akan hancur binasa menjadi serpihan-serpihan kecil yang tidak tidak mempunyai kuasa.
Sejarah banyak mengajar kita bahawa, kehancuran orang Melayu disebabkan ketamakan sebahagian daripada pembesarnya ataupun pemimpinnya. Sejarah ini bukan sesuatu yang mustahil untuk berulang kembali buat sekian kalinya.

Politik wang ini hendaklah diberikan defininasi yang lebih jelas supaya ianya tidak mengelirukan kepada calon-calon yang menawar diri untuk menjadi pemimpin. Kempen wajib untuk dibenarkan tetapi hendaklah dipantau dengan rapi supaya virus politik wang tidak menyusup masuk ke dalam program kempen yang diadakan. Diketika yang sama, bentuk pemilihan para pemimpin parti hendak dibuat satu perubahan, supaya pemimpin yang betul-betul layak dapat diangkat menjadi pemimpin parti dan seterusnya menjadi pemimpin Negara dan rakyat. Rakyat akan sengsara jika sekiranya pemimpin yang dipilih oleh parti terdiri daripada mereka yang tidak layak dan mempunyai kepentingan sendiri melebihi kepentingan terhadap agama, bangsa, rakyat dan Negara.

No comments:

Post a Comment