CATATAN PERIBADI

08 October 2008

mALAM rAYA dI kAMPUNG

Kami sampai di kampung setelah hampir waktu berbuka seperti yang diceritakan dalam bab terdahulu. Selepas berbuka, aku bercadang nak hantar kueh raya pada adik di kampung Dusun. Adik aku pesan jika nak hantar kueh, minta tolong belikan daging import. Jadi selepas sembahyang isyak kira-kira jam 8.30 malam aku ajak Angah untuk ke Kampung Dusun. Aku ajak juga Along dan Acik, tetapi mungkin mereka letih. Sebelum ke kampung Dusun, aku ke Kuala Berang dulu untuk belilan daging import yang dipesan oleh adik aku.

Sampai di Kuala Berang, aku dapati juga gerai-gerai yang menjual persiapan raya seperti kueh, butang baju melayu dan sebagainya. Para pengunjung begitu ramai yang datang untuk membeli di saat-saat akhir. Seperti selalu macam tahun-tahun sudah, aku dapati Zul Selasih dan ahli keluarganya yang lain sedang rancak melelong kueh-mueh dan kek raya. Bunga api dan mercun ada juga di lelong tetapi tidak banyak seperti tahun-tahun sebelumnya. “ Lelong-lelong, 3 bungkus 20 Inggit” kedengaran suara penjual yang melelong kacang dan kerepek. Aku tak berapa kenal suara siapa tu. Kemudian kedengaran suara Bakar melelong kek raya. “ Lelong-lelong, 15 inggit satu” katanya. Murah dah tu, dah tahun depan aku tak payah beli kueh di Kuala lumpur, bisik hati kecil ku. Aku tahu, harga tu memang murah kerana jika diwaktu biasa, harganya boleh mencapai 25 inggit satu bekas 50 biji. Aku beli kueh daripada Haji Ayub pun 20 inggit sebekas 50 biji kueh Almalondon, Aku tak termakan dengan pujukan mereka atau lelongan mereka, kerana isteri aku membuat kueh raya. Aku dapati bukan main ramai lagi yang sedang membelek kueh dan segala apa yang di lelong di situ. Mungkin mereka nak beli kot.

Aku ajak Angah melalui celah-celah orang yang ramai itu menuju ke kedai yang menjual daging segar iaitu kedai Wan dan Nor. Dulu kedai ini kepunyaan Haji Wan Hassan. Kita orang panggil Ayah Wan manakala isteri dia kita panggil Mak Wan. Kalau nak membeli rempah gulai kawah, bagi tahu saje berapa kawah diperlukan. Ayah Wan tidak dinafikan berkemahiran tinggi dalam menentukan jumlah paket rempah ratus yang diperlukan. Di samping menjual rempah ratus, kedai Ayah Wan juga menjual barangan runcit. Setelah kematian anak lelaki beliau akibat sakit, maka kedai Ayah semakin kurang bermaya. Susunan barang-barang perniagaan tidak teratur dan tidak ada strategi. Mungkin ini menjadi punca beliau ajak menantu dia untuk joint menukar kepada konsep lain iaitu menjual makanan sejuk beku. Sebagai strategi perniagaan, nama kedai telah ditukar kepada nama baru iaitu kedai jadi Wan & Nor. Bila dibuat penjenamaan semula dan ditukar konsep perniagaannya , maka kedai ini sudah nampak semakin segar dan mampu untuk bersaing.

Sedang aku berpusing-pusing cari daging import, aku dapati tak ada satu pun yang rupa macam daging import. Makanan-makanan segera sejuk beku yang lain seperti hot dog nugget, banyak le. Untuk tidak membuang masa, akupun pergi ke kaunter dan tanya pada jurujual yang ada disitu. Oh! Itu rupanya daging import, aku ingatkan daging kambing kerana aku tengok macam daging kambing. Aku pun belilah sebungkus dengan harga 9 inggit. Selesai sahaja membeli daging import, aku ajak Angah pulang. Di luar, orangramai masih berpusu-pusu. Memang beginilah keadaannya di Kuala Berang bila tiba malam raya. Manakala malam-malam lain, Bandar Kuala Berang sunyi sepi. Ade le dua atau tiga buah runcit kedai yang berniaga sehingga jam 10 malam. Lepas tu senyap sunyi. Kalau nak cari kedai makan, kena halakan ke arah Batu 24. Di sana banyak kedai-kedai makan yang buka sehingga larut malam. Kedai Laila Pak Hamid pun ada buka. Laila Pak Hamid ni akan aku cerita dalam episode berikutnya. 7-11 pun baru dibuka di Kuala Berang. Kalau ada sesiapa yang gian nak merokok, boleh le pergi cari di 7-11. Kalau teringin nak makan ayam goreng , tunggulah pada hari giliran ( Sabtu atau Rabu) ataupun hari pasar malam ( Jumaat dan Selasa ). Ade le, penjaja yang menjualnya, tetapi ayam mereka tak ada brand le. Ayam celup tepung je. Itu pun kadang-kadang tak cukupan. Aku kadang-kaadng terfikir kenapalahj tak ada yang berani nak bukak KFC atau McDonal di Kuala Berang. Pada pendapat aku, jika ada sesiapa yang sanggup untuk membuat Francais KFC di Kuala Berang, rasanya boleh berjaya. Apa dia orang ingat, orang Kuala Berang tak reti nak makan di KFC ataupun orang Kuala Berang tak ada duit ke?

Sedang aku mengimbas kembali pasal kedai Ayah Wan yang telah tukar nama dan Kuala Berang yang serupa macam 20 tahun dulu, tiba-tiba aku dikejutkan oleh Angah. “ Ayah, jangan lupa beli jam” kata Angah meningatkan aku pasal jam beliau. Kebetulan masa parking kereta tadi, kami ternampak orang menjual jam, itu pasal le dia teringin nak beli jam. Aku pun kesian juga pada dia.

Kami pun menyusuri di tepi-tepi kedai yang sedang rancak melelong kek dan kueh raya. Suara lelongan makin tenggelam dek kerana makin ramai manusia yang mengerumuni. Orang makin bertambah ramai kerana malam masih awal lagi. Ada yang beli pakaian raya di saat-saat akhir. Mungkin duit baru dapat kot,. Maklum saja le, kebanyakan penduduk di Kuala Berang ini terdiri daripada para pekerja kampung. Ada yang menorah getah, ada yang menanam kelapa sawit, ada yang bekerja kontrak membuat bangunan dan sebagainya. Namun demikian disebabkan banyak kilang-kilang dibuka di Ajil, seperti Latitude Tree, maka ramai anak-anak muda yang bekerja di situ. “Mungkin getah mereka baru laku ataupun duit gaji baru dapat, itu pasal mereka datang membeli di saat akhir.” Bisik hati kecik aku. Mengimbau pengalaman silam, aku juga pernah membeli pakaian raya di malam raya. Bukan tak ada duit, tetapi tak ada perancangan. Beli saje apa yang patut tetapi kebiasaannya pilihan di saat akhir ini kureng siket.

Sampai di kedai menjual jam, sebenarnya bukan kedai, tetapi gerai tepi Jalan, akupun memilih jam untuk Angah. Aku belikan juga untuk Along dan Acik kerana tidak adil rasanya jika tak beli untuk mereka. Satu jam harganya 10 inggit, 3 jam dapat le diskaun 2 inggit. Lepas beli jam, akupun balik dan terus menuju ke Kampung Dusun. Sampai di Kampung Dusun kira-kira jam 10.30 malam. Aku salam mak aku dan peluk beliau. Kesian aku tengok dia dah makin tua dan kurus. Mak aku ada sakit kencing manis sejak 2 tahun lepas. Itu pasal dia nampak makin kurus. Tetapi kencing manisnya masih dalam keadaan terkawal kerana dia dan adik aku akan membuat rawatan susulan setiap sebulan sekali. Lemang dah masak. Adik Ipar baru aku bercadang nak masak rendang. Adik perempuan aku minta aku yang masaknya tetapi aku menolak kerana aku tahu aku tak pandai nak masak rendang, tetapi bukan nak meninggi diri setiap kali aku masak rendang keluarga aku selalu memuji bahawa rendang aku sedap. He he he he

Aku pun bersembang dengan mak aku pasal cara-cara membuat lemang kerana aku bagi tau mereka aku nak tulis cerita pasal membuat lemang. Mak aku dengan disampuk oleh adik aku serta suaminya pun memberi tahu cara-cara nak masak lemang. Resepi mereka ini akan aku ceritakan dalam bab berikutnya. Lebih kurang jam 11.30 malam, aku pun balik ke kampung Buluh iaitu kampung isteri aku. Jaraknya 7 Km je. Sampai di rumah, isteri aku marah kerana tak bagi tahu dia bahawa kami ke Kuala Berang. Aku cakap kat dia, kenapa dia tak suruh kita ke Kuala Berang kalau nak pesan apa-apa. Biasa le isteri aku tu, aku buat dek je.

Daripada cerita ini, aku dapat buat kesimpulan bahawa, jangan beli daging atau makanan atau bahan nak buat rendang untuk hari raya pada malam raya kerana tak banyak pilihan dan ini boleh menyebabkan kita jadi terpaksa membeli walaupun orang menaikkan harga. Tetapi kalau nak beli kueh raya, elok beli di malam raya kerana banyak lelongan di lakukan. Oleh itu, bukan salah kalau nak membeli di malam raya, tetapi hanya kueh atau kacang dan kerepek sahaja. Tetapi adalah lebih elok di malam raya, semua orang berkumpul sanak saudara membuat persiapan di rumah untuk beraya pada esoknya.

No comments:

Post a Comment