CATATAN PERIBADI

13 March 2014

MH370 Dirampas Secara Sengaja atau "Dirampas" Secara Tidak Sengaja?

Masuk hari ke 6 pencarian Kehilangan misteri pesawat MH370 membawa sedikit sinar apabila dikhabarkan statelit negara cina ada mengimbas 3 objek yang cukup besar berukuran 24 meter. Malangnya, sinar yang diharapkan itu akhirnya kembali malap apabila pihak Vietnam mengesahkan tiada objek sepertimana yang dilaporkan itu.

Semalam aku berpeluang menonton temuramah Astro Awani dengan Kapten Nik Ruzlan iaitu bekas ketua juruterbang MAS. Kapten Nik Ruzlan ni begitu banyak pengalaman di dalam pengendalian pesawat Boeing 777. Apa yang menarik untuk aku kongsi di sini ialah Kapten Nik mengatakan bahawa pesawat boeing 777 mempunyaimdua radar. Kalau satu radar dimatikan , ianya masih mempunyai satu radar lagi iaitu  primary radar. Kata beliau primary radar ni tidak akan terjejas walaupun apa yang berlaku kepada pesawat. Maknanya kapal terbang tersebut masih boleh dikesan melalui primary radar yang ada pada pesawat tersebut. 

Yang menarik untuk dianalisa ialah kapal terbang MH370 itu terputus ataupun tidak dapat dikesan sebaik sahaja berlaku pertukaran menara kawalan. Maknanya selepas Kapten Zaharie mengucapkan 'selamat malam" kepada menara kawalan KLIA sepatutnya beliau menghubungi menara kawalan Ho Chi Mi di Vietnam. Sehingga kini tiada pengesahan daripada menara kawalan Ho Chi Mi yang mengatakan bahawa mereka menerima 'salam perkenalan' daripada Kapten Zaharie. Dalam erti kata lain, pesawat MH370 itu hilang apabila ianya memasuki ruang udara Vietnam dan ketika pertukaran menara kawalan antara KLIA dengan Ho Chi Mi. Adakah ini satu kebetulan ataupun memang telah dirancang dan disengajakan?

Berhubung "Air Turn Back" kapten Nik menjelaskan bahawa juruterbang mesti melakukan beberapa tindakan sebelum beliau berpatah balik. Tujuan berpatah balik juga kemungkinan disebabkan kerosakan mekanikal dan kecemasan lain dan juruterbang hendaklah kembali ke lapangan terbang KLIA ataupun lapangan terbang yang berhampiran. Untuk membuat pusingan U. juruterbang tidak boleh melakukan dengan begitu sahaja, kerana ianya cukup merbahaya. laluan udara seperti juga lebuhraya dimana banyak pesawat-pesawat lain yang menggunakan laluan yang sama. Jika juruterbang membuat pusingan U secara sembrono, sudah tentu ianya membahayakan pesawat lain. Tambahan pula pesawat sepatutnya dikawal untuk pulang ke KLIA jika membuat "Air Turn back" kecuali jika sekiranya pesawat buat perangai.

Pesawat buat perangai bermaksud pesawat sudah tidak boleh dikawal mungkin disebabkan kerosakan makenikal yang menjejaskan fungsi pesawat termasuk transponder dan sebagainya. Jika hal yang demikian, juruterbang tidak dapat mengawal pesawat mengikut arah yang sepatutnya tetapi akan memandu pesawat mengikut kemahuan dan kehendak pesawat itu sendiri. Aku anggap keadaan ini seolah-olah pesawat itu telah "dirampas" kawalannya secara tidak sengaja. Contohnya jika kita membawa kereta. Niat kita hendak pusing ke kiri, tetapi kereta tidak mahu pergi ke kiri mungkin disebabkan kerosakan pada stering dan sebagainya. Akhirnya kita hanya akan memandu kereta mengikut arah yang tidak dapat dikawal itu sehinggalah kereta itu dapat dihentikan. Maknanya pemanduan kereta telah "dirampas" secara tidak sengaja.

Kapten Nik tidak mahu membuat sebarang spekulasi, tetapi beliau beranggapan, jika sekiranya pesawat membuat air turn back, ianya disebabkan kerosakan dan bukan kerana dipaksa untuk berbuat demikian. Maksudnya, bukan  dirampas. Beliau tidak berani untuk mengatakan pesawat dirampas. Bagi aku, kemungkinan kesawat itu dirampas oleh mereka yang cukup mahir berkaitan selok belok penerbangan dan berkemungkinan telah mengambil alih pemanduan pesawat tersebut. Sejak dari mula lagi aku merasakan bahawa pesawat ini ada disembunyikan disatu tempat yang cukup terpencil, disebuah negara yang begitu mundur sehinggakan penduduknya begitu daif dan naif untuk berhubung dengan dunia luar. Persoalannya, dimana, dinegara mana? Dari tujuan, itu tidaklah begitu menjadi persoalan kerana sudah tentu perbuatan ini mempunyai tujuan tertentu yang hanya diketahui oleh mereka yang merampasnya saahaja. 

Jadi sekarang ini, aku fikir pihak berkuasa hendaklah menyiasat dari sudut kemungkinan pesawat itu dirampas. Kalau ianya dirampas sudah tentu ada pihak yang merancang. Jika sudah dijumpai siapa yang merancang, maka boleh disoal sisat dimana pesawat itu disembunyikan. Apabila menyiasat perancang kepada rampasan ini (jika rampasan), semua mereka yang berada di dalam pesawat itu adalah suspek. Darjah ataupun pemberat suspek sudah tentu berbeza-beza antara satu penumpang dengan penumpang yang lain. Makanya pihak penyiasat hendak menyiasat pihak yang mempunyai darjah suspek ataupun pemberat yang paling tinggi sekali untuk dijadikan suspek utama. Semak panggilan telefon yang mereka lakukan beberapa hari sebelum penerbangan. Dengan siapa mereka berhubung dan sebagainya. 

Aku percaya pihak penyiasat sudah tentu sedang berusaha ke arah ini kerana pada hari ini aku dapat tahu walaupun dinafikan, pihak PDRM ada menyiasat  krew penerbangan. Aku setuju walaupun aku sedih untuk mendengarnya, tetapi perkara ini tidak boleh diketepikan.  Pihak penyiasat juga sedang menyiasat seorang penumpang dari etnik Uyghur. Baca berita di bawah;

KUALA LUMPUR: Latar belakang lelaki etnik Uyghur yang menaiki penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) menjadi tumpuan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis antarabangsa Interpol berbanding penumpang lain.

Harian Metro melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah mengesahkan perkara berkenaan.

"Kami masih melakukan siasatan lanjut berhubung perkara ini," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Difahamkan tumpuan siasatan lebih kepada lelaki Uyghur berusia 35 tahun yang merupakan pensyarah kejuruteraan elektrik di sebuah universiti di Turki kerana kepakaran yang dimiliki.

Lelaki yang disiasat itu berkelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan dari United Kingdom mempunyai kepakaran dalam bidangnya dan pernah membuat kajian simulasi penerbangan.

Siasatan itu juga dibuat kerana kerajaan tidak menolak unsur keganasan sebagai salah satu sebab kehilangan pesawat Boeing 777 - MH370 Sabtu lalu.

Uyghur merupakan kumpulan etnik Turki yang tinggal di China.


1 comment:

  1. Salah satu persoalan yang aku timbulkan dalam artikel ini ialah dimana pesawat ini disembunyikan jika ianya benar dirampas. Baca artikel di http://www.cabaltimes.com/2014/03/12/ma370-redirected-to-diego-garcia/ sebagai salah satu kemungkinan jawapan.

    ReplyDelete