ULASAN  Pilihan raya kampus yang diadakan semalam mencatatkan titik hitam dalam sejarah Malaysia dengancampur tangan pihak eksekutif serta amalan budaya samseng, ugutan berbentuk jenayah yang menekan dan mengekang hak serta kebebasan Mahasiswa.

NONEProjek Ops 2020, yang didedahkan dalam Parlimen sesi yang lalu terbukti dirangka untuk memenangkan calon kampus prokerajaan.

Projek ini memberikan laluan kepada anasir luar yang didalangi pihak tertentu untuk terus menyekat perjalanan pilihan raya kampus yang bersih, adil dan telus.

Gejala samseng mulai menerjah masuk ke kampus-kampus, dengan insiden terbaru Pengerusi Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) dibelasah oleh lima orang samseng.

Budaya ini wajib dikecam dan segera ditangani oleh pihak berwajib.

Audit terbuka pada e-undi

Sebahagian daripada perancangan durjana pihak eksekutif termasuklah pengenalan sistem pengundian elektronik (e-undi) di UM sejak 2009 - apabila Pentadbiran UM meneruskan konsep menukar
sistem kertas undi kepada undian secara berkomputer.

NONEMahasiswa menentang keras sistem yang diperkenalkan itu kerana ia memberi impak kepada ketelusan, keberkesanan dan ketelusan setiap undi.

Tiadanya audit ke atas sistem tersebut, dikeruhkan dengan perjalanan pilihan raya kampus yang tidak dipantau oleh pihak yang tidak berkepentingan.

Secara tuntas, persoalan-persoalan berkait sistem e-undi perlu dijawab:

(1) Adakah undi rahsia?

(2) Sejauh manakah keselamatan data yang bergerak dalam rangkaian?

(3) Apakah yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan sistem e-undi untuk memastikan telus dan tidak boleh dimanipulasi?

Setelah e-undi diperkenalkan sejak 2009, pada tahun 2010 UM sekali lagi memperkenalkan sistem baru dalam perlaksanaan pilihan raya kampus iaitu e-calon, e-daftar dan e-bantah - yang semuanya berbentuk elektronik.

NONESistem yang diguna pakai ini mengakibatkan seribu permasalahan buat mahasiswa.

Dalam pilihan raya kampus UM kali ini, Fakulti Sains dan Pendidikan terpaksa menjalankan undian semula akibat undi seri yang diperoleh oleh kedua-dua fraksi Pro-Aspirasi dan Pro- Mahasiswa.

Sejarah hitam demokrasi kampus juga tercipta di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), apabila pilihan raya kampusnya terpaksa diulang semula kemudian secara manual akibat masalah teknikal.

Kemelut undian semula yang berangkai bagi banyak universiti membuktikan sistem e-undi perlu dibaikpulih, sebelum boleh dilaksana sepenuhnya.

PKR menggesa kementerian pengajian tinggi melaksanakan sistem undian manual sehinggalah satu badan bebas khas diwujudkan untuk menyiasat dan menyelesaikan kemelut yang berlaku, termasuklah pelaksanaan audit bebas terhadap sistem e-undi.

Kita wajib membaikpulih imej universiti di Malaysia yang tercalar teruk akibat manipulasi sebegini.